Isnin, 24 Oktober 2011

DENYUT NADI CINTA (Bahagian Akhir)


Sangka saya, cukup di situ saja saya mengabaikan pelajaran. Rupanya tidak. Selepas dari itu, saya terus diuji. Pelajar lelaki itu tiba-tiba menyatakan hasrat menjadikan saya sebagai teman istimewanya. Bagai mahu pecah rasanya hati. Terasa benar dia menganggap saya wanita murahan.

Dalam masa yang sama, saya mengingati perihal seorang teman yang dalam diam menyimpan perasaan padanya. Saya bimbang kerana jika dia tahu soal permintaan lelaki itu, persahabatan kami akan terjejas.

Dan akhirnya dia tahu juga. Lelaki itu seakan mengapi-apikan kami hingga teman saya itu memutuskan persahabatan kami sedangkan bukan saya yang bersalah. Lelaki itu yang tidak membalas perasaannya manakala saya tidak langsung menerima lamaran itu. Saya keliru. Heboh sejenak berkenaan perkara itu pada pengetahuan warga sekolah. Saya terasa semakin dipandang serong oleh guru-guru. Mereka hingga tidak lagi meletakkan sebarang harapan pada saya. Betapa saya rasakan saat itu, saya disisihkan.

Saya terus di dalam dilema dan hukuman emosi. Sedih, kecewa, resah. Semuanya berbaur. Dalam masa yang sama, SPM bakal dihadapai. Dan akhirnya saya lalui peperiksaan dengan emosi yang tidak stabil.

Tamat SPM, saya menyendiri di rumah. Tidak mahu lagi mengambil tahu berkenaan sekolah. Tika itu jugalah saya dilihatkan kepada sebuah kebenaran. Kiranya lelaki itu hadir ke dalam hidup saya hanya atas dasar hasad dengki sebuah kumpulan di sekolah itu. Mereka berdendam kerana saya tidak pernah melayan mana-mana lelaki, menjadi kesayangan guru-guru, juga mampu cemerlang dalam peperiksaan tanpa perlu hadir ke sekolah.

Waktu itu juga saya didatangi sahabat tadi dan mengakui segalanya. Beria-ia dia meminta maaf kerana sebenarnya dialah dalang terhadap semua ini. Saya terdiam. Langit terasa runtuh, bumi terasa hancur, hingga saya terasa tidak tahu di mana lagi saya saat itu.
Bimbang tidak mampu bertahan, saya akhirnya memintanya meninggalkan saya sendirian. Menitis akhirnya air mata saya dalam diam.
Lama saya termenung sendirian. Ada waktu, bergenang air jernih di tubir mata. Tergamak mereka mempermainkan saya hingga sebegini. Teman-teman yang sebelum ini di sisi, kebanyakannya menyepi terus. Peritnya menanggung kesakitan itu sendirian.
Tanpa saya sedari, rupa-rupanya keluarga saya menyedari. Akhirnya suatu hari, emak menanyakan. Saya enggan bersuara kerana bimbang dipersalahkan.
Emak berdiplomasi, akhirnya saya mengalah. Saya luahkan juga. Baru saya teringat, sebenarnya telah hampir dua tahun saya tidak berkongsi apa-apa dengannya sedangkan dahulu, dialah teman yang paling akrab dengan saya. Saya menangis meluahkan padanya dan dia tetap tenang mendengar.
Bagaikan direntap jantung saya bila emak memujuk, ‘tak apalah. Kakak hilang kawan ke, hilang cikgu ke, hilang sesiapa pun juga, kakak tetap ada mak dengan ayah. Ada adik-adik yang takkan buang kakak. Paling penting, kakak sentiasa ada ALLAH.’
Merembas air mata saya tika itu juga. Terasa sangat hina kerana diri ini seolah dikutip semula. Sungguh, selama ini saya terlupa mengenai perkara itu. Sangat jauh saya meninggalkan keluarga. Saya tercari-cari diri lama saya tanpa sedari sebenarnya diri saya itu adalah keluarga saya sendiri. Sangat pilu mengenangkan betapa teruknya saya.
Keluar saja keputusan SPM, semakin saya terasa disedarkan. Di situ juga air mata saya mengalir. Di situ juga nama ALLAH yang saya seru bila tahu betapa gelapnya masa depan saya. Teman-teman lain semuanya berjaya. Guru-guru hanya diam. Seorang ustazah yang dahulunya pernah rapat dengan saya yang akhirnya memujuk.
Saya ceritakan padanya secara peribadi mengapa sebegini hasilnya. Dia seakan mampu merasai sama seperti saya.
‘Tak apalah. Bukan setakat ini hidup kita. ALLAH lebih tahu segala-galanya. Lepas ni, letakkan mak ayah di depan. Insya-ALLAH, pasti berjaya.’
Saya angguk saja tanda akur.
Selepas itu, saya terus menyepi. Emak dan ayah yang seakan memahami, terus mengajak kami sekeluarga berpindah. Jauh dari daerah ini. Kebetulan, emak baru saja menerima panggilan dari kampung yang meminta kami pulang kerana keadaan tok di sebelah emak semakin uzur. Bagi kami, ini ruang terbaik. Saya sendiri sangat lemah untuk terus tinggal di sini kerana segala-galanya berlaku di sini.
Berpindah ke tempat baru yang jauh berbeza latar masyarakatnya, saya belajar untuk menjadi diri yang baru. Ada waktu saya berbual sendirian untuk memotivasikan diri. Ada waktu saya menangis untuk meredakan sakit di hati. Emak dan ayah mengusahakan untuk mendapatkan sebuah televisyen dan pelbagai buku walaupun hakikatnya saya tahu, mereka sedang sangat kesempitan wang. Dengan adanya tv itu, saya sentiasa dihidangkan dengan majlis-majlis ilmu. Hampir setiap masa air mata saya mengalir. Terasa Dia melihat air mata saya. Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk saya memohon ampun. Sangat-sangat terasa ingin menemui-Nya tika itu juga.
Hinggalah suatu hari, seorang ustazah menasihatkan, ‘ingatlah. Cinta ALLAH untuk sesiapa saja yang mahukannya. Jika kita hilang manusia, ALLAH masih ada menanti kita.  Jika manusia buang kita, ALLAH bukan kutip cinta kita malah menyambut dan meraikannya. Jika manusia mengkhianati, maka ALLAH ada dan takkan pernah mengkhianati cinta hamba-Nya. Bangkitlah dan jangan bersedih.’
Saya menangis lagi. Terasa itulah jawapan dari ALLAH untuk saya. Saya sangat terasa malu. ALLAH masih mahu memujuk saya.
Agak lama untuk saya pulihkan kembali semangat saya. Bila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi, saya sebak kembali. Ada di kalangan teman saya yang tidak berjaya ke mana-mana sedangkan SPM mereka jauh lebih baik berbanding saya. Saat itu, jauh hati saya merintih.
‘Teruslah bersama-samaku dan izinkan aku mencintai-Mu serta menebus segala silapku, wahai ALLAH...’
Di matrikulasi, saya masih belum pulih sepenuhnya. Gaya hidup yang jauh berbeza membuatkan saya agak terkejut dengan suasana baru. Hingga ke akhir semesta satu, barulah saya mula mampu menerima keadaan sebegitu sekaligus melupakan kisah silam saya. Masuk semesta dua, saya sudah beralih arah sepenuhnya. Terus saya jejaki diri lama saya yang hilang itu. Saya sangat rindukan diri yang lama itu.
Emak suatu hari menghubungi. Dapat saya rasa sebaknya dia saat dia memaklumkan bahawa tok telahpun meninggal dunia. Saya pulang sebentar. Terasa semakin sunyi dunia ini. Selama ini, tok antara ahli keluarga yang amat mengambil berat soal kami. Bagi saya, hubungan keluarga kami lebih mesra dengan sebelah emak. Barangkali disebabkan itu, saya sedikit pilu kerana tidak sempat bertemunya di saat hujung nafasnya. Sejak itu, saya semakin banyak meluangkan masa terhadap diri sendiri di hadapan ALLAH.
Disebabkan lebih gemar berada di surau dan masjid untuk memuhasabah diri, saya telah berkenalan dengan seorang demi seorang gadis yang juga sering berada di sana. Dari situ, kami mula rapat. Mereka mengajar saya pelbagai perkara baru. Malah hingga ke penghujung pengajian, terasa saya semakin hampir berjaya menemui diri saya yang lama itu. Betapa saya sangat-sangat terharu dan mensyukurinya. Mereka tersenyum senang bila saya katakan ALLAH telah ‘menghidupkan’ saya semula, setelah lebih tiga tahun saya ‘mati’.
Sepanjang di matrikulasi juga, barulah saya mula mengenali erti kehidupan. Saudara-saudara ayah yang dahulunya menghina kami dengan gelaran ‘belacan’, kini beria-ia mahu menziarah saya di kolej. Hampir setiap bulan, ada saja buah tangan yang saya terima. Paling kurang not bernilai RM10. Mereka sangat mengambil berat soal saya.
Hingga pernah suatu hari sewaktu saya mahu pulang ke kolej setelah bercuti seminggu. Ayah singgah sebentar ke rumah nenek kerana mahu menziarah. Lagi pula, tidak terlalu jauh kolej dari rumah nenek. Beria-ia seorang ibu saudara mahu menghantar saya dengan kereta Mercedesnya. Ayah terdiam bila mak cik meminta izin. Saya pandang ayah. Saya tahu, luka di hati ayah masih basah. Saya juga terasa pilu kerana tika itu, ayah mahu menghantar saya dengan motornya kerana itu saja kenderaan yang kami ada. Bila dibandingkan Mercedes dengan motor, pasti yang berbumbung itu lebih selesa. Ayah akhirnya berkata pada saya,
‘Tak apalah. Kakak baliklah kolej dengan mak cik. Ayah boleh balik rumah sendiri.’
Betapa remuknya hati saat itu. Perjalanan dari rumah saya ke rumah nenek memakan masa tiga jam. Dan kini ayah mahu pulang semula ke rumah tanpa menghantar saya ke kolej, di mana melihat anak-anak berjaya adalah kebahagiaannya selama ini. Saya mengharapkan ayah bertegas untuk menghantar saya tapi lain pula yang berlaku.
Lantas sebelum masuk ke dalam kereta, saya berpaling ke belakang untuk melihat ayah sekali lagi. Ayah hanya tersenyum hambar, seolah cuba memberi kekuatan pada saya dan hatinya sendiri. Saya terasa mahu menangis di situ juga dan membantah keputusan ayah, tapi tak berani melakukan begitu. Akhirnya dengan emosi yang musnah, saya masuk ke dalam kereta. Sepanjang jalan saya menangis dalam senyap.
Bila mak cik mengajak berbual, saya segera berlagak biasa. Mujur ALLAH mengurniakan saya kemahiran dalam bab-bab berlagak selamba hingga mak cik tidak langsung menyedari perasaan sebenar saya.
Kemudian, sebaik saja adik di rumah memaklumkan ayah telah selamat sampai, saya segera meminta untuk berbual dengan emak. Saya tanya, sama ada ayah berkecil hati dengan saya. Emak tenang saja menjawab,
‘Tak adalah. Buat apa ayah kamu nak merajuk?’
Saya tak puas hati, lantas saya desak lagi. Akhirnya jawapan emak,
‘Tak. Mana ada ayah terasa dengan kakak. Ayah cuma terasa dengan mak cik. Kakak tak payah fikir bukan-bukanlah. Belajar aje. Tak lama lagi dah nak periksa, kan?’
Begitu perubahan besar yang berlaku dalam keluarga saya. Baru saya yang belajar di kolej, belum lagi adik-adik saya yang sememangnya jauh lebih bijak berbanding saya. Tidak mampu dibayangkan kemungkinannya.
Seterusnya, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang selama ini saya hajatkan, dan di tempat yang pernah saya suarakan pada emak dan ayah beberapa tahun lalu. Subhanallah, tiada yang mustahil rupanya. Emak dan ayah adalah insan yang paling berbahagia kerana dalam kalangan saudara mara, saya adalah satu-satunya anak seorang yang tiada kerja tetap, yang pernah tidak makan untuk membeli sebatang pensel, yang pernah melihat emak dan ayah menangis lantaran dihina saudara-mara, juga yang pernah dituduh mengemis. Sayalah orang yang bertuah itu.
Betapa bahagianya hati saya bila mampu untuk kembali membuatkan emak dan ayah tersenyum kesyukuran. Adik-adik saya juga kembali meraikan diri lama saya ini. Sahabat saya semakin ramai, namun sahabat yang paling rapat tetap keluarga. Kerana merekalah diri sebenar saya.
Saudara-saudara saya semakin mengambil berat soal kami. Saya lihat emak dan ayah hanya menerima apa saja kebaikan mereka. Kata emak, ‘biarlah jika mereka sudah sedar. Tak perlu kita ungkit. Mana ada manusia yang tak pernah silap.’
Saya cuba terima dengan hati yang terbuka. Memang, saya tak pernah rasa dan tak pernah berada di tempat emak dan ayah. Barangkali disebabkan tu mudah saya maafkan saudara-saudara kami. Tapi saya tahu, emak dan ayah sebenarnya masih sukar melupakan segala sikap yang dilontar pada kami dahulu. Orang tua saya seakan sedang cuba memujuk hati untuk bermaafan. Saya sangat terharu bila mudah saja emak dan ayah mengizinkan adik yang mahu membantu saudara kami yang ditimpa kesusahan.
Ya, saya fikir mereka merasakan sama seperti saya.
‘Jika kita pernah hampa disebabkan tiada manusia mahu membantu, maka jangan biarkan manusia lain juga hampa sepertimana kita dahulu.’
Dan hingga kini, saya akui didikan emak dan ayah yang membentuk saya hingga sebegini. Sewaktu berusia tujuh tahun pertama, kami dididik dengan kasih sayang. Tujuh tahun seterusnya, dengan disiplin. Dan tahun-tahun seterusnya, mereka menganggap diri mereka sahabat kami. Sama seperti ajaran Rasulullah.
Emak dan ayah mungkin tidak pernah merasa belajar tinggi. Mereka mungkin tidak punyai ilmu sebanyak mana, tapi saya tetap kagum terhadap mereka. Malah hingga ke saat ini, saya akan tersentuh bila mengingat kembali saat-saat di mana emak dan ayah mahu meminjam wang saya. Saya dah halalkan semuanya, bahkan sayalah yang teramat-amat mengharapkan agar mereka menghalalkan segala didikan dan kesusahan yang mereka tanggung selama ini untuk mendewasakan kami.
Kini, nenek di kampung masih bersama-sama anaknya. Pernah saya terdengar emak dan ayah berbual-bual. Kata ayah, jika tiba saat nenek sudah tidak lagi berupaya mengurus diri, ayah mahu menjaganya. Biarlah jika terpaksa berkorban sedikit.
Emak yang mendengarnya hanya bersetuju. Dalam diam, saya sebak. Dicerca, dimaki, namun mereka masih dikurniakan sifat pemaaf dan sedar darjat mereka sebagai anak.
Di sini, jauh dari keluarga. Dahulu sebelum ke sini, tekad saya hanya satu. ALLAH telah memilih saya untuk berada di sini. ALLAH telah memilih saya untuk melakonkan watak hidup saya ini. Maka di saat ini, saya mengharapkan bahawa ALLAH jualah yang akan menjadi pembimbing saya dalam menghabiskan sisa-sisa sketsa hidup ini. Lantaran itu, bila selesai pengajian di sini, saya harapkan agar agama mampu saya bantu walaupun sedikit.
Entah mengapa, dapat saya rasakan bahawa adik-adik dan saudara seagama saya yang sedang kesusahan di Palestin itu sedang mendoakan saya. Begitu juga dengan saudara seagama di tempat lain. Bukan hanya untuk saya doa itu, malah seluruh umat Muhammad. Doa mereka, supaya ALLAH datangkan bantuan buat mereka dalam mempertahankan agama dan palestin. Dan bantuan yang akan ALLAH turunkan itu adalah melalui kita semua.
Ya, kita yang mengaku cintakan agama ini.
Subhanallah... Saya sebenarnya teramat-amat ‘terhutang budi’ terhadap kekasih hati saya.
Dia yang menciptakan dan meletakkan saya dalam cerita hidup sebegitu. Dia yang mengikuti perkembangan semasa saya. Dia juga yang setia mendengar dan memujuk hati saya ketika saya berada di bawah dahulu. Dialah satu-satunya yang paling memahami, paling dekat dengan saya. Dialah. ALLAH.
Saya tidak terluka bila kehidupan kami penuh dengan kesusahan di awalnya. Kerana di akhirnya kini, ALLAH mengurniakan satu perasaan yang sangat manis atas kelapangan ini. Satu perasaan yang sangat luar biasa, yang tak mungkin kami kecapi jika dahulu kami tidak terasa bahagianya sebuah penderitaan.
Saya tidak kesal dengan sejarah hidup pernah dilukai seorang sahabat. Saya tidak kecewa. Telah saya maafkannya. Hubungan kami telah pulih malah lebih mesra berbanding dahulu. Saya lihat dia juga telah berubah. Lantas apa alasan saya tidak mahu memaafkannya sedangkan ALLAH masih mahu menerima saya?
Saya tidak menyesal dengan takdir malah mensyukurinya. Sangat besar hikmah semua ini. Jika tidak begitu kehidupan saya, barangkali saya takkan terasa lemah. Jika tidak diuji dengan rasa lemah itu, saya takkan turun ke surau untuk mencari ALLAH. Jika tidak saya mencari ALLAH di surau, mustahil untuk saya memiliki sahabat seperti yang ada sekarang. Dan jika tidak saya kenali mereka, saya kira lain caranya saya akan dijodohkan dengan pasangan hidup saya. Barangkali bukan melalui mereka.
Jodoh itu milik ALLAH. Benar. Tapi jika kita ubah jalan cerita kehidupan, pasti lain cara untuk setiap perkara yang berlaku. Saya dijodohkannya dengan jalan cerita sebegini kerana begitu ALLAH mengaturnya. Jika berbeza walau sedikit jalan cerita, maka lainlah kisahnya.
Indah hidup ini jika ALLAH bersama-sama kita. Wallahu’alam...”
Dan dia juga menceritakan, dulu sewaktu ‘jatuh’ dia seringkali mendengar sebuah lagu untuk memulihkan kembali semangatnya. Beberapa tahun kemudian, sewaktu dia sedang dalam perjalanan ke puncak, dia tiba-tiba terdengar lagi lagu tersebut. Sebak hatinya. Semakin bersemangat dirasakan dan hatinya membisikkan sesuatu tatkala itu:
‘Kejayaan ini bukti kebesaran-Mu!’
Saya cuba dengar lagu tersebut sambil-sambil ingati semula kisahnya. Sungguh, sangat dalam menyelinap rasa insaf ke dalam hati.
Saya sendiri terasa syahdu mendengar kisahnya. Sangat hebat ibu dan ayahnya berdepan dugaan. Jika kita teliti semula, saya pasti kita semua akan berkata bahawa ibu dan ayahnya sangat penyabar.
Merekalah contoh terhadap anak-anak, kerana mereka sendiri menjadikan Rasulullah sebagai contoh hinggakan anak-anak mereka bersemangat juga seperti mereka hingga berjaya mengubah nasib keluarga. Saya kira, dia dan keluarganya telah berjaya berdepan ujian kesusahan itu. Dan kini ujian kesenangan pula yang perlu mereka lalui. Moga-moga mereka berjaya juga dan semoga kita juga sama-sama dapat mengambil iktibar.
Teringat pada kata-kata seorang bijak pandai,
‘Orang yang hebat, dugaan buatnya juga adalah yang hebat-hebat belaka.’
Wallahu’alam...

Ahad, 23 Oktober 2011

DENYUT NADI CINTA (Bahagian 2)



Bila dah siap pakai baju, ayah panggil kami. Kemudian, badan kami akan disapu minyak. Dia sendiri yang meletakkan minyak tersebut. Kemudian menyoal, ‘lain kali buat lagi tak?’
Kami menggeleng pantas.
‘Kalau buat lagi, lagi teruk dari ni ayah pukul.’
Disebabkan takut, kami serik.
Waktu tu, keluarga kami antara yang dikenali penduduk kampung sebab ayah sangat tegas terhadap kami. Caranya sama sepertimana arwah neneknya yang juga moyang saya mendidiknya dahulu. Disebabkan itu, tak ada yang berani buli kami di sekolah. Lagipun memang tak ramai yang mahu berkawan dengan saya sebab diorang semua tahu latar belakang keluarga saya. Jadi saya berkawan cuma di sekolah. Di rumah, adik-adik ada. Di kampung itu juga kami seringkali jadi sebutan sebab saya dan adik-adik sentiasa naik pentas untuk setiap majlis anugerah cemerlang. Tapi ayah akan marah kami bila kami kata ada orang puji kami.

Kata ayah, ‘jangan perasan pandai. Belajar pun tak setara mana lagi.’
Bab-bab solat lebih lagi ayah bertegas. Pernah saya diarahkan mengulang Solat Isyak sebab solat saya laju. Memang geram waktu tu, tapi akur saja. Selesai solat, tenang kembali.
Hampir naik ke tingkatan satu. Waktu tolong mak memasak, tiba-tiba mak tarik perhatian saya.
‘Kakak jaga diri baik-baik, ya? Jangan ikut kawan. Sekolah menengah ni tak sama dengan sekolah rendah. Orang sekarang suka buat benda tak elok, kadang-kadang kawan pun susah nak percaya.’
Apa yang membuatkan saya sebak, bila lihat air mata emak mengalir. Emak yang kukenal selama ini bukanlah jenis yang mudah mengalirkan air jernih itu. Bererti dia benar-benar risau akan anak sulungnya ini.
Ayah juga sudah berhenti dari berkerja di kilang cermin. Kini berkerja sebagai buruh pula. Gajinya mahal sedikit daripada kerja kilang. Kami agak lapang dan senang tapi saya lihat mak dan ayah tetap berjimat. Ayah beli motor baru dan jual motor lama sebab motor tu dah agak teruk.
Waktu tu, saya sedar emak dan ayah mula berubah cara mendidik kami. Kelihatan sedikit lembut berbanding sebelumnya. Saya sampai rasa tak perlukan kawan. Semua masalah di sekolah saya ceritakan pada emak. Kami juga sudah mula berani berbual-bual dengan ayah. Dulu tak berani minta wang, sekarang sudah berani. Kadang-kadang kami sudah boleh bergurau dan melawak dengannya.
Biasanya waktu malam adalah waktu kami mengulangkaji pelajaran. Jam lapan, selepas belajar Al-quran. Tiada ruang khas, tapi ayah telah membuatkan sebuah meja Jepun yang agak besar, sesuai untuk kami empat beradik mengulangkaji di ruang tamu. Kami dilarang tidur selagi jam belum menunjukkan pukul 11 malam. Ayah sendiri yang akan memantau kami mengulangkaji.
Jika musim cuti, kami diberi kelonggaran untuk duduk berkumpul satu keluarga. Ayah akan mengulas dan berbincang dengan kami apa juga perkara. Kami diberi ruang untuk bersuara dan ada waktu, kami pula yang saling menasihati. Emak dan ayah juga agak terbuka jika kami menasihati mereka secara baik.
Tapi disiplin tetap diutamakan. Ayah sangat tegas dengan masa. Kalau saya kata kelas habis pukul tiga, maka jam tiga dia akan tunggu di luar sekolah untuk ambil saya. Kalau saya kata nak keluar ke pekan pukul 2.30, maka tepat jam tu mesti dah bertolak. Kalau tak, sama ada dia akan bising ataupun batalkan saja. Dia takkan temankan malah melarang keluar. Maka saya perlu sentiasa berhati-hati. Tak boleh bersiap terlalu lama, sebab nanti ayah akan syak saya ada hal lain selain tujuan yang saya beritahu untuk ke bandar.
Masuk waktu solat, mak dan ayah akan bising kalau kami berlengah-lengah. Akhirnya disebabkan telah terbiasa, kami ambil keputusan untuk sentiasa bersedia dengan waktu solat.
Menghampiri PMR, saya ditanya tentang sasaran. Saya jawab tiada. Mak sarkastik. Ayah perlekehkan saya. Lebih-lebih lagi bila pernah saya ajukan hasrat untuk belajar ke luar negara.
‘Jangan nak beranganlah kalau malas belajar. PMR pun belum lepas.’
Saya sedih mendengarnya. Rasa tak disokong tapi dalam masa yang sama rasa bersemangat untuk tunaikan cita-cita tu. Apapun, saya pendamkan saja. Bukan apa, bimbang tak tercapai. Sepanjang tahun ini, keputusan peperiksaan saya biasa-biasa saja. Sudahlah begitu, seringkali pula tak mampu ke sekolah sebab ayah tak ada duit untuk isi minyak motor. Nak naik bas, lagilah tak ada duit tambang. Menabung juga sudah semakin jarang sebab sekarang ni saya cuma makan di rumah. Pagi bersarapan, balik pada petangnya baru makan lagi. Saya sendiri yang merasakan tidak perlu kepada wang belanja tersebut. Lagi pula, makanan di rumah lebih menyelerakan.
Akhirnya saya belajar sendiri di rumah berbekalkan buku-buku yang saya pinjam di perpustakaan di sekolah dan juga perpustakaan desa yang sangat dekat dengan rumah. Bila berpeluang ke sekolah, saya gunakan waktu rehat untuk bertemu cikgu dan bertanya soalan. Di kelas, saya tidak berani sebab ramai kawan yang jauh lebih handal.
Bila cikgu beri kerja kursus yang perlu disiapkan, saya mula susah hati. Banyak wang yang diperlukan. Fotostat, internet, pelbagai lagi. Mana saya ada wang untuk semua tu.
Entah bagaimana, rakan sekelas di sebelah saya bertanya akhirnya bila saya kerapkali tidak ke sekolah. Saya terdiam. Tidak tahu menjawab apa. Bimbang jika dia bersimpati dan menghulurkan bantuan. Bila melihat dia seakan bersungguh menanti jawapan, saya menjawab juga akhirnya.
‘Saya ada hal kat rumah.’
‘Hal apa?’
Terdiam. Tidak tahu cara berhelah apalagi menipu.
‘Awak ada masalah lain ke?’
Saya terdiam sebelum mengangguk akhirnya.
‘Ayah saya tak ada duit nak isi minyak motor.’
Dia terdiam. Saya lihat ada yang berubah pada wajahnya.
‘Ni nak print dari internet, ada duit tak?’
Terdiam. Teragak-agak saya menggeleng. Dia diam juga. Kemudian dia berpaling. Tidak lama kemudian, dia menghulurkan sebuah fail. Saya pandang wajahnya. Dia tenang saja.
‘Saya dah siapkan kerja kursus tu. Ada baki sikit, ambillah.’
Waktu tu, ALLAH saja yang tahu betapa lapang hati dan bersyukurnya saya.
Kemudian, keputusan PMR keluar. Bahagia sangat bila tengok mak dengan senyumannya ucap ‘alhamdulillah...’
Ayah pula. Mulanya ayah terlupa bahawa keputusan PMR sudah keluar. Petang itu barulah dia bertanya.
Saya diam bersama sengihan. Angah yang menjawab pertanyaan ayah. Saya lihat ayah selamba saja. Tapi daripada raut wajahnya yang bertukar lembut itu, saya tahu ayah senang hati. Bahagia sangat rasanya.
Sejak tu, keluarga kami semakin diberi perhatian. Saudara-mara yang sebelum ni tak ambil tahu langsung, terus bertandang ke rumah. Saya mula mampu melihat betapa inilah kehidupan. Mak ayah senyap saja. Barangkali mereka telah lama mengagak kemungkinan sebegini.
Masuk tingkatan empat, saya semakin ramai teman. Apa tidaknya, mereka juga terkejut bila saya dinobatkan sebagai pelajar cemerlang sedangkan sebelumnya saya biasa-biasa saja. Dalam diam, saya akui bahawa sumbangan teman saya tadilah antaran punca berjayanya saya. Kini dia sudahpun bertukar ke sekolah lain kerana dia juga cemerlang. Saya tidak mampu walaupun menerima tawaran untuk ke sana. Disebabkan keputusan yang cemerlang itu juga, saya ditawarkan biasiswa. Tidak lagi saya terpaksa ponteng sekolah.
Saya semakin dikenali warga sekolah. Ramai meminta nasihat dan tunjuk ajar. Ada yang kagum kerana saya masih mampu cemerlang walaupun jarang ke sekolah. Dalam kebanyakan organisasi dan aktiviti, saya dilantik sebagai ketua. Teman-teman pula menjadikan saya sebagai tempat rujukan lantaran sekolah itu hanyalah sekolah harian biasa dan saya pula mereka anggap mahir dalam beragama. Ada masalah, jumpa saya. Saya mula sibuk. Seringkali terpaksa meninggalkan kelas. Dalam diam, saya mula terasa penat dengan pelbagai ragam ini.
Lebih bimbang bila keputusan ujian pertama saya agak teruk. Saya rahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan emak dan ayah. Bila saya suarakan kebimbangan pada teman, mereka berseloroh.
‘Awak biasa-biasa waktu sekarang. Nanti SPM awak gempak. Jangan risaulah!’
Saya terdiam. Jauh di lubuk hati, saya terasa jauh dari kehidupan lama saya. Dulu saya bebas untuk melakukan apa saja. Kini, untuk melakukan apa-apa, saya perlukan keizinan dari guru penasihat kerana tanggungjawab yang sedang saya pikul. Teman-teman pula semakin banyak mengubah pendirian saya. Saya rasa seakan terhakis segala diri lama saya. Namun tidak tahu bagaimana mahu kembali kepada asal.
Emak dan ayah mula berubah juga. Mereka mula mengkritik segala apa yang saya lakukan. Segalanya serba tidak kena. Berkawan salah. Habis aktiviti di sekolah lambat pun salah. Sedangkan teman-teman lain mudah saja jika mahu ke mana-mana. Saya tidak, masih bergantung pada keizinan orang tua. Teman pernah menasihati,
‘Mak ayah awak bagus. Saya respect tapi awak dah besar sekarang. Kalau diorang nak jaga, buatlah awak ni sebagai orang yang dah besar. Bukan budak-budak.’
Bagai dilempang rasanya. Malu dan geram sangat bila ditegur begitu. Mereka seolah tidak menghormati orang tua saya. Saya cuba jauhkan diri dari mereka, tapi mereka seakan tidak faham malah semakin mendekati saya. Mereka belanja saya. Ajar cara bermewah. Saya kekok tapi mereka paksa secara halus. Ada juga yang mengikut cara saya dengan alasan mahu jadi orang yang berilmu agama.
Saya sedar, semakin lama diri saya semakin berlainan dari asalnya. Keputusan peperiksaan semakin merosot. Guru-guru mula jauh dari saya. Ada juga yang terus salah faham terhadap saya. Betapa saya terseksa dan tersepit dengan semua ini. Sangat terkongkong.
Tingkatan lima, saya cuba berubah. Hadkan pergaulan, hadkan aktiviti dengan niat mahu memberi tumpuan pada pelajaran. Emak dan ayah juga kelihatan semakin bertegas terhadap kami adik beradik. Saya cuba faham niat mereka dan lebihkan masa dengan mereka. Tapi bila guru minta bantuan saya untuk jadi pengurus dalam sebuah program, saya mula ragu-ragu. Katanya, tahun lepas saya berjaya mengendalikan program dengan baik, maka diharapkan tahun ini saya boleh lagi menyumbang. Serba-salah rasanya. Mahu menolak, itu perminataan guru tapi saya sendiri sedang cuba memberi tumpuan pada pelajaran yang banyak tertinggal.
Setelah berbincang dengan emak dan ayah, saya terima juga akhirnya tugas itu. Berat pada mulanya, namun lama-kelamaan terasa seronok pula. Tamat menguruskan program itu, saya ditawarkan lagi untuk menguruskan program berikutnya. Kali ini dengan bantuan seorang pelajar lelaki dari sekolah lain.
Bila saya minta izin, emak dan ayah mula berat mengizinkan memandangkan peperiksaan yang hampir tiba. Puas saya pujuk, barulah mereka mengalah.
Sangka saya, cukup di situ saja saya mengabaikan pelajaran. Rupanya tidak. Selepas dari itu, saya terus diuji. Pelajar lelaki itu tiba-tiba menyatakan hasrat menjadikan saya sebagai teman istimewanya...


Bersambung... 

Sabtu, 22 Oktober 2011

DENYUT NADI CINTA (Bahagian 1)



Saya terharu bila mendengar seorang sahabat bercerita berkenaan kehidupan silamnya sebelum dia berjaya seperti sekarang.
“Saya bersyukur sebab ALLAH letakkan saya dalam latar belakang keluarga yang miskin. Dulu saya tak pernah faham kenapa macam ni kehidupan. Alhamdulillah, sekarang ALLAH dah beri jawapannya...
Kiranya akal fikiran saya mula mampu saya hidupkan dalam dunia ni sejak usia saya tiga tahun dan alhamdulillah masih saya ingati hingga sekarang disebabkan peritnya kehidupan waktu tu. Biasanya kita lebih mudah ingat kepedihan berbanding kesenangan sebab kesedihan, bila berjaya dilalui akan terasa bahagia dan tenang.
Dulu waktu berumur tujuh tahun, saya ingat lagi bagaimana tiap-tiap hujung bulan mak dan ayah berbual sebelum tidur. Sewa rumah, bil-bil, barang dapur, makanan... semua perlu difikirkan. Tapi gaji belum masuk. Nak pinjam orang, segan. Takut tak terbayar. Sudahnya mak terpaksa minta izin saya untuk guna duit tabung yang saya simpan. Saya yang tak tahu apa-apa waktu tu, hanya izinkan. Mak kata nak beli makanan. Jadi saya izinkan saja sebab kalau tak dapat makan nanti susah. Lapar.
Waktu tu emak tak bekerja sebab adik bongsu masih terlalu kecil. Tiada pengasuh. Ayah sendiri tidak suka kami diasuh orang selain emak dan dirinya sendiri. Ayah pula baru berkerja sebagai guard. Jadi memang akan sempit sedikit kewangan.
Boleh dikatakan kerap juga emak dan ayah terpaksa pinjam duit saya dan adik-adik. Tapi yang saya aneh, setiap kali pinjam, mak atau ayah tak pernah bayar balik. Di sekolah, cikgu didik bila pinjam mesti pulangkan semula. Saya nak tanya macam tu pada mak tapi takut. Nak tanya ayah lagi takut sebab ayah garang. Sudahnya saya diamkan.
Suatu hari, mak nak pinjam lagi duit, kali ni saya beranikan diri untuk bertanya.
“Mak kata nak pinjam, tapi kenapa tabung kakak tetap kosong? Mak belum bayar lagi ke?”
Mak terdiam. Kemudian menjawab. “Sekarang ni mak belum ada duit. Nanti bila mak dah ada duit, insya-ALLAH mak bayarlah. Kakak tak nak lapar, kan?”
Saya terdiam sebelum mengangguk. Tidak lama selepas itu, mak hulurkan duit pada saya. Katanya, mahu bayar hutang. Saya terima saja dan simpan dalam tabung. Harapan saya, duit di dalam tabung itu mahu disimpan di bank. Teman-teman di sekolah semua ada buku bank. Saya saja yang tiada.
Tapi saya tetap tak mampu sebab mak terus minta izin untuk pinjam duit. Saya berat tapi terpaksa relakan saja. Adik lelaki yang dua tahun muda dari saya nasihatkan, ‘alah, mak pinjam pun bukan mak yang guna. Mak nak beli makanan untuk kita. Tu kira bukan pinjamlah...’
Saya terkesan mendengarnya. Sejak itu, saya pujuk hati supaya sentiasa ringan membantu emak jika dia dilihat kesempitan. Tapi bila saya mahu hulur wang, katanya,
‘Tak apalah. Mak ada duit ni. Kakak simpanlah, buat duit belanja atau beli buku. Tapi jangan beli benda yang bukan-bukan. Nanti ayah tak nak bagi duit belanja dah.’
Mendengarnya, saya jadi terugut. Lantas disebabkan itu, saya berhati-hati. Mahu membeli barang, saya akan berfikir dua tiga kali. Menimbang-nimbang sama ada mak ayah akan marah dengan apa yang saya beli. Bukan apa. Selalunya plastik gula-gula atau aiskrim akan saya simpan dalam beg sekolah. Tak berani buang merata-rata sebab pernah kena rotan dengan ayah sebab buang sampah di halaman rumah. Sejak tu saya serik. Buang sampah dalam beg, bila jumpa tong sampah baru buang ke situ. Tapi biasanya saya terlupa untuk buang sampah-sampah tu.
Ayah dan mak pula akan cek beg kami adik-beradik. Boleh kata setiap dua minggu. Paling kurang pun sebulan sekali. Jadi bila terjumpa saja plastik aiskrim atau apa saja makanan ringan, akan kecutlah perut kami. Kemudian akan merahlah telapak tangan gara-gara dirotan. Kami menangis, serik dan berjanji tak ulang lagi.
Buku-buku sekolah pula memang akan sentiasa disemak. Kerja sekolah, komen-komen cikgu memang sentiasa diteliti. Jika ada saja yang tak kena, alamatnya akan dipersoalkanlah. Ayah sangat tegas. Sangat mementingkan kesempurnaan. Pernah saya membawa lebih pensel ke sekolah. Bila diketahui ayah, perit telinga saya dipulas. Katanya, ‘guna satu-satu. Jangan membazir!’
Begitu juga dalam soal makan minum. Payah sekali mak atau ayah mahu bawa kami makan di luar. Mak saja yang masak di rumah. Untuk makan kuih juga sesekali saja. Saya tahu, mak tak ada duit untuk beli barangan membuat kuih. Jadi bila sesekali mak buat kuih, memang akan terasa mewah sangat. Kami takkan tinggalkan sisa walau sedikit pun. Apalagi bila sesekali mak atau ayah belikan ais krim, kuih-muih, burger. Memang kami akan sangat berterima kasih. Walaupun kuih, burger dan aiskrim tersebut terpaksa dikerat dua untuk berkongsi, kami tak kisah. Asalkan dapat merasa, itu sudah memadai.
Tapi ayah kami sangat tajam pemikirannya. Ada saja akalnya untuk mendidik kami. Selalunya setiap kali kami diberikan barang makan atau apapun juga yang membuatkan kami seronok, ayah akan diam saja. Hanya perhati kami makan hingga ke sudah. Begitu juga dengan emak. Bila dah habis makan, mak atau ayah akan bertanya,
‘Dah habis?’
Kami angguk laju. Seronok. Ayah akan menyampuk, ‘tak ajak langsung mak dengan ayah makan, ya.’ Sinis.
Tika itu, kami akan terdiam dan tunduk. Terasa bersalah. Sering juga berlaku begitu, hingga membuatkan kami hafal akan sikap emak dan ayah. Sejak itu, bila ada saja makanan yang diberikan jiran sebelah atau apapun juga, kami akan berusaha supaya tidak membelakangkan emak dan ayah. Kami ajak mereka sertai kami.
 Anehnya, bila kami pelawa mereka, tidak pula mereka mahu sertai. Jawapan yang biasa kami terima, ‘makanlah.’ Itu jawapan ayah. Mak pula, ‘tak apa. Makanlah dulu. Kalau nak nanti mak ambil.’ Tapi bila kami asingkan sedikit dan simpan untuk emak, tak pula emak makan sebaliknya beri pada adik bongsu. Saya terasa sangat aneh waktu tu.
Bila mak atau ayah belikan buku cerita, lagi kami seronok. Waktu tu ayah dah bertukar kerja lain. Tapi saya tak ingat kerja apa. Yang saya ingat, memang ayah akan tiada di rumah hampir setiap malam. Kalau tak silap guard juga tapi di tempat lain.  Jadi sebelum tidur, mak akan bercerita pada kami. Di rumah tak ada tv, jadi itulah hiburan setiap malam. Kadang-kadang kisah dongeng. Kadang-kadang sirah. Biasanya mak akan beritahu kenapa setiap perkara tersebut berlaku disertai dengan hikmah dan pengajarannya. Kemudian dia kaitkan dengan kehidupan kami.
‘Kita orang susah. Tak ada siapa suka kita. Jadi kakak dengan Angah kena belajar sungguh-sungguh. Nanti dah besar boleh hidup senang.’
‘Nak makan sedap-sedap pun boleh?’
‘Insya-ALLAH, boleh. Tapi kena belajar betul-betullah. Jangan melawan cakap mak ayah. Nanti ALLAH marah, kena bakar dalam neraka. Macam orang yang mak ceritakan tadi.’
Saya kira perkara itu amat menakutkan. Jadi saya berazam untuk berusaha ke arah kebaikan dan mahu menyenangkan hati mak dan ayah. Saya mahu berjaya dan hidup senang.
Pernah keputusan peperiksaan saya merosot. Dari antara lima yang terbaik, jatuh ke nombor 12. Teruk saya dimarahi. Tidak ketinggalan dirotan. Sejak itu saya tak berani lagi menghalai-balaikan pelajaran. Mak dan ayah akan sentiasa perhatikan kami bila saja kami bermain di halaman rumah. Tak pernah sekali pun kami dibenarkan bermain jauh dari rumah. Paling jauh pun hanyalah rumah jiran. Malah kawan-kawan kami hanyalah di kalangan kami adik-beradik. Mujur adik-beradik saya ramai. Meriahlah juga.
Bila adik bongsu berusia hampir setahun, emak mula berkerja di sebuah kilang elektronik. Ayah pula yang jaga kami di rumah sebab terpaksa diberhentikan. Ayah tak berapa sihat, jadi pihak atasan tak sanggup tanggung risiko. Agak lama juga ayah menjaga kami. Ayahlah yang memasak, membasuh, sidai dan lipat kain, kemas rumah. Semua ayah. Sampaikan orang kampung pandang serong pada kami. Saya pernah lihat emak termenung jauh di tingkap sebab kecewa bila orang tuduh suaminya makan duit isteri. Ayah kata pada saya, emak menangis di dalam hati. Saya tak faham, ayah kata saya akan faham juga bila dah besar nanti.
Walaupun lama di rumah, tapi saya tak rapat sangat dengan ayah sebab takut. Kemudian bila dah naik darjah lima, ayah bekerja semula. Kali ni di pasar harian. Awal-awal pagi ayah keluar. Begitu juga dengan mak. Kami tinggal dengan nenek. Selalunya bila pulang saja dari pasar, ayah akan bawakan ayam yang diberikan taukenya. Kami memang seronok sangat sebab sebelum ni sangat susah untuk makan ayam. Waktu tu boleh dikatakan sedikit senang keluarga kami.
Tapi tak lama. Ada sesuatu yang saya tak tahu. Rupanya emak dan ayah hanya pura-pura kelihatan senang sedangkan hati menderita. Ayah dengan mak tak mahu tunjukkan sebab waktu tu saya dah mula faham erti susah senang.
Daripada adik saya, katanya ada antara saudara ayah menghinanya di pasar kerana memperhambakan nenek untuk menjaga kami adik-beradik. Di depan khalayak pula. Tentu saja ayah malu. Itulah pertama kali dalam hidup, saya lihat ayah menangis bila saja ayah pulang dari pasar hari tu. Emak cuba tenangkan ayah dan ajak berpindah dari kawasan itu. Ayah setuju tapi kami tak mampu sebab kewangan sangat terhad.
Akhirnya kami tetap juga tinggal di situ. Cuma emak berhenti kerja untuk menjaga kami. Masyarakat semakin menyisihkan kami. Hanya jiran tetangga saja yang sangat memahami dan berbaik dengan kami. Itu juga sudah kami rasa bersyukur.
Saya lihat, emak selalu menangis dalam solatnya. Ayah selalu termenung. Emak sering nasihatkan ayah, jangan fikirkan sangat masalah tu semua. Takut menjejaskan kesihatan. Ayah mengadu sesuatu pada emak yang tak mampu saya dengar atau fahami. Amat perlahan suara ayah. Saya tahu, ayah sangat terluka dengan saudara-saudaranya.
Berhenti dari berkerja di pasar, ayah berkebun di tanah moyang yang diberikan padanya. Bercucuk tanam di situ, kesannya soal makan kami agak mudah. Emak berkerja juga. Kali ni di restoran sebagai tukang masak. Adik bongsu yang sudah berusia tiga tahun, jiran kami yang jaga. Alhamdulillah, dalam kesempitan masih ada kesenangan.
Ayah semakin jarang di rumah. Bila saya hampir-hampir UPSR, ayah berkerja di kilang. Balik kerja, ayah akan ke kebun pada waktu petangnya untuk uruskan tanamannya. Bila pulang saja, biasanya akan penuh raga besarnya dengan sayur-sayur dan buah. Itulah yang kami suka sebab dapat makan buah. Kalau buah tu ada busuk sikit, kami akan buang bahagian yang busuk itu dan makan bahagian yang elok. Kemudian belah dua untuk berkongsi. Walaupun tak cukup, tapi tak apa asalkan lidah dapat rasa nikmatnya buah itu.
Walaupun tak rapat dengan ayah, tapi kami tahu ayah sangat baik. Pernah kami dirotan teruk sebab main api sampai hitam tangan-tangan ni gara-gara asap. Waktu tu Bulan Ramadhan. Patah penyangkut baju yang ayah guna. Memang sangat sakit. Memang kami menangis teresak-esak. Ayah kurung kami di luar rumah. Bergelap. Tapi satu perkara yang saya perasan, ayah mengintai kami di luar. Waktu tu saya tak faham. Tapi sekarang dah faham. Rupanya ayah mahu lihat keadaan kami. Barangkali risau. Kemudian bila hampir dua jam dikurung, kami akan dipanggil masuk dan diarahkan mandi. Pedih juga bila air terkena tempat dirotan. Tapi terpaksa tahan. Tak mahu menangis sebab takut ayah dengar.
Bila dah siap pakai baju, ayah panggil kami... 


Bersambung... 

Rabu, 5 Oktober 2011

BAHAGIANYA BILA DIA SAHABATKU (Bahagian Akhir)


April 2011

Melihatnya bersungguh-sungguh menelaah, kuganggu juga dirinya. Minta dia membantu menerangkan sesuatu yang tidak kufahami.
Dia sedikit tegas saat itu. Nasihatnya,
“Jangan tidur walaupun dah mengantuk.”
Jawapanku, “Insya-ALLAH. Tapi bila awak tengok saya dah mengantuk, tolong tampar pipi saya.”
Dia terdiam. Bagaikan tidak percaya namun hanya meneruskan pengajarannya.
Aku mendengar satu demi satu. Khusyuk. Terang pandanganku. Tidak lama kemudian, kulihat tulisan di hadapanku seakan menari-nari. Ah, segera kulawan rasa mengantuk. Penerangannya terus kuikuti. Mengangguk-angguk tanda faham. Entah mengapa, tulisan pada buku di hadapanku jadi semakin besar dan kabur. Pelik.
Pang!!
“Aduh!” Kupegang pipi yang sedikit pijar. Geram.
“Awak yang suruh buat macam tu.” Selamba.
Aku diam. Mulanya aku geram juga, namun mengenangkan niatnya, pulih juga hatiku.

September 2011
Masing-masing membawa haluan sendiri. Sedikit sunyi hidupku. Kukuatkan semangat.
‘Tanpa teman, aku masih mampu.’

Oktober 2011
Sudah jatuh ditimpa tangga. Masalah yang kutanggung seakan kian memuncak. Hatiku lemah, jatuh mendadak. Pada ALLAH kuadukan, moga ketenangan jadi milikku. Sungguh, tiada apa yang mampu kulakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Lantas aku perlu kesabaran dan ketenangan saat ini, kerana itu yang mampu menguatkanku berdepan keperitan ini.
Barangkali ilham dari-Nya. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk meluahkan pada seorang teman. Dia mendengar.
“Eh, awak. Nak pergi mana tu? Jomlah jalan sekali dengan saya.” Laju dia memotong kata-kataku sebelum berlalu. Terdiam aku.
‘Luahkan pada ALLAH yang sentiasa sudi mendengar,’ bisik hati.
Kuhambur lagi aduan pada-Nya. “Ampuni dan pujuklah hatiku, ALLAH...”
Kemudian aku terbaca mengenai sesuatu yang membuatkanku tertarik untuk meminta nasihat dari seseorang.
Jawapan yang kuterima di hadapan umum:
“Minta pada ALLAH supaya dikuatkan iman. Jangan mengeluh.”
Kuterima jawapan itu. Barangkali memang itu jawapan dari ALLAH buatku.
Agak lama aku mendiamkan diri. Masuk sebuah pesanan ringkas ke dalam telefon bimbit.
Berderau darahku. Dia. Lama tidak kudengar berita tentangnya. Terbit rindu tiba-tiba. Segera kubaca:
‘Jangan engkau tanya aku tentang jalan hidupku. Di jalan ini terdapat banyak rahsia kehidupan. Ia adalah karunia sekaligus ujian. Ia adalah dunia cita-cita. Aku telah menjual hidup ini kepada ALLAH, kemudian aku berlalu bersama para pemburu petunjuk..- Syair nasyid Al-ikhwan Al-muslimun. Saat mereka alami ujian penjara. Nasyid ini menyemangati mereka kembali .’
Aku terdiam.
Mesej kedua masuk.
“Jangan bersedih wahai utusan ALLAH, kerana tidaklah kesusahan kecuali akan sirna, tidaklah kesempitan kecuali setelahnya ada jalan keluar dan ALLAH memiliki keinginan dari apa yang Dia perbuat...- Ini kata-kata pujukan Khadijah kepada Rasulullah .”
“Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya ALLAH bersama-sama kita...”
Dan aku terdiam terus. Aku yakin, pasti dia terbaca kata-kataku yang meminta nasihat tempoh hari.
Nafas dalam kulepaskan perlahan. ALLAH...
Engkau selalu mengutuskan padaku penyelesaian di saat aku meminta. Engkau sentiasa mengerti sama ada aku menyedarinya atau tidak. Engkau sentiasa menemaniku, tidak kira apapun jua keadaanku. Maka saat ini aku meminta pada-Mu agar aku tidak akan meninggalkan-Mu walau apapun jua yang berlaku selepas ini. Aku mahu terus berkongsi perasaanku dengan-Mu...
Betapa aku berbahagia dengan kurniaan-Mu - sahabat yang ikhlas. Alhamdulillah.

BAHAGIANYA BILA DIA SAHABATKU (Bahagian 1)


Dipetik daripada sebuah kisah benar yang diceritakan oleh seorang hamba ALLAH pada saya:

Jun 2010
Aku terpandang dirinya. Mahu kutegur namun tiada keberanian. Seingatku, sering juga aku berselisih dengannya. Terlintas di hati untuk mengenalinya lebih dekat. Tapi bila kulihat dia seakan serius orangnya, berat pula jadinya. Lantas kupendamkan saja.

Oktober 2010
Sebuah majlis ilmu kuhadiri. Dia jadi pengisinya. Terasa separuh hajatku tercapai, bila dapat kulihat dia bermesra dengan teman-teman. Rupa-rupanya dia tidak seserius yang kusangka. Di luar, dia berdiam diri lantaran malu. Bila sesama kaumnya, dia jauh berbeza. Sangat ceria bergaul walaupun kehadiranku di majlis itu masih belum disedarinya. Membuak-buak hasrat agar suatu hari nanti, mampu kujadikan dia sahabatku.

November 2010
Aku ditakdirkan untuk sekelas dan satu kumpulan dengannya dalam usrah. Mulanya kubiarkan saja gara-gara merasakan diri yang terlalu kecil. Dia miliki teman-teman yang petah bertutur sepertinya juga, sedangkan aku amat terpencil dengan diriku yang biasanya sekadar mendengar ilmu berbanding menyampaikan.

Disember 2010
Aku dan dia sama-sama menyertai sebuah kem. Kulihat dia bagaikan mula rapat denganku. Bahagianya kurasakan. Apapun, tidak kupamer rasa itu sebaliknya sedikit-sebanyak menolak bila dia menawarkan diri untuk menemaniku dari bersendirian ke bilik air. Tidak mampu kutafsir hatinya saat dia berlalu, sama ada dia terkilan atau apa. Hanya kudiamkan diri sesudah itu. Terasa serba-salah.
Malamnya, aku sedikit terkejut bila dia tiba-tiba mengambil tempat di sebelahku. Katanya tempat lain semua penuh. Aku diam saja. Biarlah jika dia mahukan keselesaan. Terus cuba kulelapkan mata walaupun payah.
Tiba-tiba terdengar dia bersuara. Mengajakku berbual-bual. Mulanya aku berat. Entah bagaimana, dia seakan mampu membaca hatiku. Aku sememangnya sedang dilanda musibah tika itu. Dia bertanya sedikit demi sedikit. Semakin cuba kuelak dari meluahkan, semakin soalannya mendesak ke arah itu.
Aku mengalah akhirnya. Bagaimanapun, masih dengan niat agar tidak kukhabarkan sebarang masalah padanya. Dan entah bagaimana, aku tewas juga. Tanpa kusedari, aku sendiri yang meluahkan masalahku. Dia mendengar, tenang. Sempat pula dia berjenaka. Sedikit-sebanyak aku jadi tenang sesudah itu. Tidak lama kemudian, dia terlena. Kurasa seolah mimpi pula. Tidak percaya bahawa aku telah berbual panjang dengannya. Akhirnya aku tersenyum sendiri.

Januari 2011
Baru kutahu bahawa dia bercita-cita tinggi, namun dalam masa yang sama dia juga berdepan masalah yang amat meresahkannya. Tidak kutahu cara terbaik untuk memujuknya, lantas hanya mendengar bila dia meluahkan masalahnya. Cuma kunasihatkan dia agar bersabar dan bertawakal. Aku tahu, dia sangat penyabar.

Mac 2011
Sekali lagi aku ditimpa dugaan yang amat berat hingga terasa tidak mampu berdiri sendiri. Mahu kuluah pada teman, bimbang jadi beban. Lantas hanya kudiamkan diri. Tanpa kusangka, masalah yang kutanggung memudaratkan kesihatan. Aku terlantar.
Saat itu, bertimpa-timpa dugaan buatku. Masalah kewangan, keluarga, teman. Banyak. Dan hampir menitis air mataku bila dia sentiasa sudi menziarahi. Aku tahu dia juga sedang berdepan masalah kewangan, namun dengan mudahnya dia berkongsi makanan denganku. Sentiasa ringan bibirnya menasihati.
Kemudian, tanpa sengaja aku memberitahunya tentang gigiku yang sakit tanpa sebab. Dia diam. Aku ikut diam. Tidak mampu kuteka fikirannya. dan aku terus terdiam bila dia membuka lembaran Al-quran dan menyuakannya padaku. Katanya:
“Nah, ni doa sakit gigi. Amalkanlah. Insya-ALLAH, eloklah nanti.”
Ada jenakanya di situ tapi aku benar-benar terasa syahdu dengan hikmah sikapnya. Menitis akhirnya air mataku sebaik saja dia berlalu.

Bersambung...
 

Blogger news

Blogroll

src="http://www.greetvalley.com/graphics/glitter_text1.swf?mes=Sungguh%2C%20telah%20ada%20pada%20%28diri%29%0DRasulullah%20itu%20suri%20teladan%20yang%0Dbaik%20bagimu%20%28iaitu%29%20bagi%20orang%0Dyang%20mengharap%20%28rahmat%29%20ALLAH%0Ddan%20%28kedatangan%29%20hari%20kiamat%0Ddan%20yang%20banyak%20mengingati%20ALLAH%2E%0D%28Surah%20Al%2DAhzab%2C%2033%3A%2021%29&gr=7&fs=25"