Kata-kata
ini kubicarakan dari dasar jiwa saat sebuah ketenangan sedang bertafakur di
dalamnya.
Ya,
kuakui bukan mudah untuk sentiasa miliki sebuah rasa itu berpanjangan. Perlukan
kepada penghayatan mendalam, rasa kehambaan dan pengabdian. Amat berlainan
rasanya bila mampu menikmati sebuah ketenangan. Lebih lagi buatku yang berada
dalam bidang yang lumrahnya hanya menggunakan akal logik.
Namun
kutahu, siapalah aku untuk mempertikai urusan-Nya yang meletakkanku di sini.
Pasti Dia
punya rencana sendiri, walau berkali-kali aku cuba keluar dari daerah ini.
Barangkali ada sesuatu yang mahu dikurniakan melalui dunia ini. Lantas
seperlunya, aku bersyukur. Tidak semua insan terpilih untuk memaksa hati
menerima sesuatu yang melawan kehendak demi mendapat sebuah kesudahan yang hasanah.
Aku
yakin semua ketentuan ini, kerana aku seringkali ditarbiyah dengan cara ini.
Dahulu, sewaktu mula-mula aku belajar bertatih mendekati-Nya. Beginilah Dia
mula mendidikku. Tika itu, aku seolah berdiri dan memerhati manusia lalu-lalang
di sekitarku. Sibuk, dan aku cuma pemerhati dunia mereka. Kerana aku sedang
melawan arus, yang menjadikanku sukar dan sesak.
Bila
cuba mengatur langkah menghampiri-Nya, salah seorang daripada mereka yang
berselisih denganku akan menegur sinis bernada tentangan. Mereka penguasaku,
dan aku perlu taat lantaran lemah. Sedangkan hakikatnya, mereka sedar bahawa
pemilikku hanyalah Dia Yang
Maha Menguasai. Disebabkan itulah, dalam diam aku mengesot perlahan ke
arah-Nya, tanpa mereka sedari.
Alhamdulillah,
akhirnya aku lulus jua walaupun sekadar cukup makan. Mampu juga aku istiqamah
walaupun sekadar mengesot.
Kufikirkan,
Dia
akan mengiktiraf segala keperitan itu dengan sebuah kemudahan. Namun jangkaanku
meleset. Belum hilang perit-perit yang menghalang, Dia datangkan
pula teman-teman yang keliru soal tujuan dihantar ke dunia. Aku tahu, Dia
mengerti diriku. Antara teman dan masyarakat luar, teman lebih memberi kesan
terhadap hati. Lantas ditambah tahap kegetiran melalui seorang insan bernama
sahabat.
Tika
ini, kuakui mula goyah pendirianku. Aku tidak setegar mana, lantas akhirnya Dia
sendiri yang menyelamatkanku dari deras arus yang sedang kutongkah. Hampir saja
aku dihanyutkan.
Kali
ini, agak lama kuambil masa buat menyegar semula fitrahku. Lama aku menyepi,
menyendiri dalam dunia sendiri sebelum perlahan-lahan, terasa duniaku kembali
diisi cahaya dan kelapangan. Kebahagiaan jadi milikku semula, alhamdulillah.
Barangkali
Dia
memberiku cuti sakit.
Kemudian,
melihatkanku sembuh semula, Dia
teruskan kembali mengasah, mempertajam kemantapan luar dan dalamku.
Aku
dihantar pula ke sebuah dunia yang ketara asingnya dari dunia asalku. Dunia
yang membuatkanku semakin terasa mustahil untuk meneruskan langkah, apalagi
menjadi lebih mampan. Kegoyahan terasa kembali. Namun bila kali ini kupinta Dia
mengeluarkanku dari dunia ini, tidak pula Dia
makbulkan. Aku terasa lelah, mula pasrah namun enggan diisytihar kalah.
Akhirnya
kupujuk hati juga jiwaku. Penghujung dan jalan keluarnya perlu kujejak sendiri.
Dia pasti akan membantu jika aku bersungguh. Lantas dengan kudrat yang sedikit,
kusyukuri. Kukerah jua tenaga iman untuk melangkah walau payah.
Sedar
saja, kaki sedang menapak keluar dari lorong sempit itu. Bersama-samaku,
beberapa orang insan yang kelihatan lemah sedang memaut lenganku. Aku berdiri,
cuba menyedarkan diri. Nyata ini bukan mimpi, ini hakikat. Kuaju kemusykilan
pada mereka. Jawapan yang kuterima,
‘Kami
tak jumpa jalan keluar. Mujur kami jumpa awak.’
Terdiam.
Cuba kufahami maksud takdir yang baru sahaja selesai kulalui.
Rupanya
keterpaksaan dan desakan ingin keluar itu, secara semulajadi membentukku supaya
tajam pandangan akal dan hati di sepanjang lorong gelap itu, jika mahu keluar
dari kemelutnya.
Barangkali
ini anugerah yang sebenarnya mahu Dia
hadiahkan. Namun sebelum diiktiraf layak, sedikit saringan diberikan. Nyata Dia
telah membuktikannya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan kesanggupannya.
Surah Al-Baqarah, 2: 286
Kini,
setelah anugerah dan kepahitan silih berganti hadir dari-Nya, Dia
bawakan pula diriku ke sini. Ke tempat yang jauh lebih asing, lebih berlawanan
dari fitrah nuraniku.
Dia
pula seakan menitipkan padaku, supaya terus bersangka baik pada-Nya. Dia tidak
bermaksud selain kebaikan.
Memulakan
langkah, aku kian diperlihatkan dengan hakikat hingga mampu mengagak masa
depanku. Selama ini dan setakat ini, rupanya segala apa yang kuterima adalah
vaksin untukku menguatkan imuniti. Masa hadapan adalah medan perjuangan yang
sebenar-benar sebuah medan. Tentu saja kegetirannya tidak sedikit.
Disebabkan
itulah, sedikit demi sedikit tahap kegetiran itu bertambah. Dia tahu aku mampu
dengan kepayahan yang banyak, tetapi Dia
tidak mahu aku terkejut seterusnya mengaku kalah. Juga Dia
sebenarnya mahu aku sentiasa berusaha lebih baik, kerana mahu menjauhkanku dari
golongan yang rugi- golongan yang hari ini sama dengan semalam.
Ya,
baru kini kumengerti.
Helain usang itu kulipat semula
sepertinya asalnya. Terdiam merenung tiap bait kata yang meresap ke dasar hati.
Jauh mentafsir perasaan.
“Sekarang macam mana?” Suara lembut itu
menyedarkanku tentang kewujudan dirinya. Memberi erti aku tidak bersendirian.
Pandangannya kubalas, seraya menghela
nafas dalam. Tenang. Senyuman bahagia terukir.
“Saya dah faham, umi. Alhamdulillah.”
Dia ikut tersenyum. “Alhamdulillah.”
Senyap. “Sebenarnya inilah salah satu daripada luahan hati ustaz.”
Terdiam. “Bukan umi yang tulis?”
Dia menggeleng. “Umi tak reti bab-bab
luahan puitis ni. Cuma baca aje apa yang ustaz pernah luahkan. Itupun kalau
diikutkan, umi tak tahu ustaz selalu buat macam ni. Umi baru tahu benda ni
semua masa kemaskan barang arwah, nak simpan. Tiba-tiba terjumpa.”
Diam. Dapat kurasa kerinduannya.
“Bila baca apa yang ustaz tulis, terasa
hati umi ni hidup balik. Segar. Jadi umi ambil keputusan untuk jadikan penulisan
ustaz sebagai nasihat dari dia, walaupun hakikatnya dia dah tak ada.”
“Insya-ALLAH, dia tetap ada dalam hati
kita semua, umi.”
Diam. Umi tersenyum lembut, memberi
tanda perihal hatinya yang merestui kata-kataku. Menyahut ketenangan yang
sedang dirasakannya, aku ikut tersenyum mekar. Bahagia dengan tarbiyah ustaz
yang telah lama meninggalkan kami.
0 ulasan:
Catat Ulasan