Sabtu, 14 Januari 2012

Tarbiyah Sebuah Ketenangan



Kata-kata ini kubicarakan dari dasar jiwa saat sebuah ketenangan sedang bertafakur di dalamnya.
Ya, kuakui bukan mudah untuk sentiasa miliki sebuah rasa itu berpanjangan. Perlukan kepada penghayatan mendalam, rasa kehambaan dan pengabdian. Amat berlainan rasanya bila mampu menikmati sebuah ketenangan. Lebih lagi buatku yang berada dalam bidang yang lumrahnya hanya menggunakan akal logik.
Namun kutahu, siapalah aku untuk mempertikai urusan-Nya yang meletakkanku di sini. Pasti Dia punya rencana sendiri, walau berkali-kali aku cuba keluar dari daerah ini. Barangkali ada sesuatu yang mahu dikurniakan melalui dunia ini. Lantas seperlunya, aku bersyukur. Tidak semua insan terpilih untuk memaksa hati menerima sesuatu yang melawan kehendak demi mendapat sebuah kesudahan yang hasanah.
Aku yakin semua ketentuan ini, kerana aku seringkali ditarbiyah dengan cara ini. Dahulu, sewaktu mula-mula aku belajar bertatih mendekati-Nya. Beginilah Dia mula mendidikku. Tika itu, aku seolah berdiri dan memerhati manusia lalu-lalang di sekitarku. Sibuk, dan aku cuma pemerhati dunia mereka. Kerana aku sedang melawan arus, yang menjadikanku sukar dan sesak.
Bila cuba mengatur langkah menghampiri-Nya, salah seorang daripada mereka yang berselisih denganku akan menegur sinis bernada tentangan. Mereka penguasaku, dan aku perlu taat lantaran lemah. Sedangkan hakikatnya, mereka sedar bahawa pemilikku hanyalah Dia Yang Maha Menguasai. Disebabkan itulah, dalam diam aku mengesot perlahan ke arah-Nya, tanpa mereka sedari.
Alhamdulillah, akhirnya aku lulus jua walaupun sekadar cukup makan. Mampu juga aku istiqamah walaupun sekadar mengesot.
Kufikirkan, Dia akan mengiktiraf segala keperitan itu dengan sebuah kemudahan. Namun jangkaanku meleset. Belum hilang perit-perit yang menghalang, Dia datangkan pula teman-teman yang keliru soal tujuan dihantar ke dunia. Aku tahu, Dia mengerti diriku. Antara teman dan masyarakat luar, teman lebih memberi kesan terhadap hati. Lantas ditambah tahap kegetiran melalui seorang insan bernama sahabat.
Tika ini, kuakui mula goyah pendirianku. Aku tidak setegar mana, lantas akhirnya Dia sendiri yang menyelamatkanku dari deras arus yang sedang kutongkah. Hampir saja aku dihanyutkan.
Kali ini, agak lama kuambil masa buat menyegar semula fitrahku. Lama aku menyepi, menyendiri dalam dunia sendiri sebelum perlahan-lahan, terasa duniaku kembali diisi cahaya dan kelapangan. Kebahagiaan jadi milikku semula, alhamdulillah.
Barangkali Dia memberiku cuti sakit.
Kemudian, melihatkanku sembuh semula, Dia teruskan kembali mengasah, mempertajam kemantapan luar dan dalamku.
Aku dihantar pula ke sebuah dunia yang ketara asingnya dari dunia asalku. Dunia yang membuatkanku semakin terasa mustahil untuk meneruskan langkah, apalagi menjadi lebih mampan. Kegoyahan terasa kembali. Namun bila kali ini kupinta Dia mengeluarkanku dari dunia ini, tidak pula Dia makbulkan. Aku terasa lelah, mula pasrah namun enggan diisytihar kalah.
Akhirnya kupujuk hati juga jiwaku. Penghujung dan jalan keluarnya perlu kujejak sendiri. Dia pasti akan membantu jika aku bersungguh. Lantas dengan kudrat yang sedikit, kusyukuri. Kukerah jua tenaga iman untuk melangkah walau payah.
Sedar saja, kaki sedang menapak keluar dari lorong sempit itu. Bersama-samaku, beberapa orang insan yang kelihatan lemah sedang memaut lenganku. Aku berdiri, cuba menyedarkan diri. Nyata ini bukan mimpi, ini hakikat. Kuaju kemusykilan pada mereka. Jawapan yang kuterima,
Kami tak jumpa jalan keluar. Mujur kami jumpa awak.
Terdiam. Cuba kufahami maksud takdir yang baru sahaja selesai kulalui.
Rupanya keterpaksaan dan desakan ingin keluar itu, secara semulajadi membentukku supaya tajam pandangan akal dan hati di sepanjang lorong gelap itu, jika mahu keluar dari kemelutnya.
Barangkali ini anugerah yang sebenarnya mahu Dia hadiahkan. Namun sebelum diiktiraf layak, sedikit saringan diberikan. Nyata Dia telah membuktikannya:
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Surah Al-Baqarah, 2: 286
Kini, setelah anugerah dan kepahitan silih berganti hadir dari-Nya, Dia bawakan pula diriku ke sini. Ke tempat yang jauh lebih asing, lebih berlawanan dari fitrah nuraniku.
Dia pula seakan menitipkan padaku, supaya terus bersangka baik pada-Nya. Dia tidak bermaksud selain kebaikan.
Memulakan langkah, aku kian diperlihatkan dengan hakikat hingga mampu mengagak masa depanku. Selama ini dan setakat ini, rupanya segala apa yang kuterima adalah vaksin untukku menguatkan imuniti. Masa hadapan adalah medan perjuangan yang sebenar-benar sebuah medan. Tentu saja kegetirannya tidak sedikit.
Disebabkan itulah, sedikit demi sedikit tahap kegetiran itu bertambah. Dia tahu aku mampu dengan kepayahan yang banyak, tetapi Dia tidak mahu aku terkejut seterusnya mengaku kalah. Juga Dia sebenarnya mahu aku sentiasa berusaha lebih baik, kerana mahu menjauhkanku dari golongan yang rugi- golongan yang hari ini sama dengan semalam.
Ya, baru kini kumengerti.

Helain usang itu kulipat semula sepertinya asalnya. Terdiam merenung tiap bait kata yang meresap ke dasar hati. Jauh mentafsir perasaan.
“Sekarang macam mana?” Suara lembut itu menyedarkanku tentang kewujudan dirinya. Memberi erti aku tidak bersendirian.
Pandangannya kubalas, seraya menghela nafas dalam. Tenang. Senyuman bahagia terukir.
“Saya dah faham, umi. Alhamdulillah.”
Dia ikut tersenyum. “Alhamdulillah.” Senyap. “Sebenarnya inilah salah satu daripada luahan hati ustaz.”
Terdiam. “Bukan umi yang tulis?”
Dia menggeleng. “Umi tak reti bab-bab luahan puitis ni. Cuma baca aje apa yang ustaz pernah luahkan. Itupun kalau diikutkan, umi tak tahu ustaz selalu buat macam ni. Umi baru tahu benda ni semua masa kemaskan barang arwah, nak simpan. Tiba-tiba terjumpa.”
Diam. Dapat kurasa kerinduannya.
“Bila baca apa yang ustaz tulis, terasa hati umi ni hidup balik. Segar. Jadi umi ambil keputusan untuk jadikan penulisan ustaz sebagai nasihat dari dia, walaupun hakikatnya dia dah tak ada.”
“Insya-ALLAH, dia tetap ada dalam hati kita semua, umi.”
Diam. Umi tersenyum lembut, memberi tanda perihal hatinya yang merestui kata-kataku. Menyahut ketenangan yang sedang dirasakannya, aku ikut tersenyum mekar. Bahagia dengan tarbiyah ustaz yang telah lama meninggalkan kami.
 

Blogger news

Blogroll

src="http://www.greetvalley.com/graphics/glitter_text1.swf?mes=Sungguh%2C%20telah%20ada%20pada%20%28diri%29%0DRasulullah%20itu%20suri%20teladan%20yang%0Dbaik%20bagimu%20%28iaitu%29%20bagi%20orang%0Dyang%20mengharap%20%28rahmat%29%20ALLAH%0Ddan%20%28kedatangan%29%20hari%20kiamat%0Ddan%20yang%20banyak%20mengingati%20ALLAH%2E%0D%28Surah%20Al%2DAhzab%2C%2033%3A%2021%29&gr=7&fs=25"