Isnin, 26 September 2011

HARAPAN KASIH (Bahagian 1)


Hari pertama di semesta baru yang juga merupakan semesta terakhirku di sini. Melangkah masuk ke dalam bilik kuliah, aku mengambil tempat paling belakang dan paling hujung kelas. Duduk saja diriku di situ, bersandar bersama pen dan buku nota di atas meja kecil hadapanku. Hujung pen kuketuk-ketuk perlahan di muka buku. Bosan.
Sesekali anak mata meliar ke serata bilik kuliah, mencari-cari andainya ada di antara pelajar subjek ini yang kukenali. Ya, jika ada teman bererti mudah sedikit kerjaku. Boleh juga diajak berbincang, ajar mana yang tidak kufahami dan yang paling utama, membantu mengejutku sekiranya mata ini disapu celak oleh Cik S.
Cik S. Siapa lagi jika bukan syaitan yang sentiasa mahu membuatkanku tertinggal pelajaran. Ada-ada saja ideanya mahu merosakkanku.
Terhenti larian anak mata tiba-tiba. Tertancap pada dua orang gadis yang sedang berbual-bual di hujung kelas. Setentang dengan kedudukanku, agak jauh dari mereka. Sungguh, tiada apa yang mampu kudengari dari perbualan mereka lantaran suara yang terlalu parlahan itu. Namun ada sesuatu yang seolah menarik mata dan hatiku saat ini.
Entah mengapa, aku tertarik benar untuk menatap terus wajah salah seorang daripada keduanya. Menenangkan, hingga sukar untuk kutafsir. Dia tidak banyak bersuara apalagi mengukir senyuman. Jika ada pun, hanyalah sunggingan kecil di bibirnya. Tersenyum nipis membalas tawa teman berbual. Ada waktu dia segera menutup mulut yang tersenyum. Seolah melindungi senyumannya dari diperhati.
Dia seakan hipokrit, cuba melindungi peribadi sebenarnya. Namun itulah yang membuatkan hatiku terasa diikat. Bertuahnya insan yang berjaya memenangi hatinya. Bertuahnya insan yang berjaya memiliki senyumannya. Bertuahnya insan yang mampu menatap peribadi sebenarnya. Bertuahnya lelaki itu.
Anak matanya beralih ke arahku tiba-tiba. Tajam. Serta-merta kualih pandangan. Cuba bersikap selamba melindungi malu. Sedangkan hati di dalam bingit dengan pekikan yang menyalahkan diri sendiri. Ralitnya aku memerhati gadis itu hingga terjerat. Walaupun dia hanya sekilas saja memandangku, namun kesannya amat mendalam.
Jatuh maruahku.

****************************************

Walau dia hanya bergaul dengan kaumnya, walau dia bersikap dingin dengan kaumku, malah walau dia sentiasa bertegas setiap kali berdepan kaumku, kekagumanku tetap memuncak terhadapnya. Tinggi rasa hormat terhadapnya. Untuk menatapnya dalam diam juga perlu berhati-hati, apalagi mahu bertegur sapa.
Selagi tiada perkara yang benar-benar mendesaknya meminta bantuan kaumku, selagi itulah dia akan bertegas mahu melakukan sendiri kerjanya. Mujur saja aliran yang diambilnya itu memerlukannya berinteraksi dengan kaumku. Jika tidak, aku tidak tahu betapa terpencilnya dunia manusia sepertinya. Dulu kuingatkan, zaman dahulu saja wanita membenteng diri hingga sebegitu. Zaman ini juga masih ada rupanya. Sungguh di luar jangkaan.
Apapun, dia seakan telah menguasai hati ini. Wanita lain bukan lagi jadi pilihanku. Saban waktu, kian bertambah rasa aneh buatnya hingga menimbulkan tekad mahu memilikinya.
Aneh. Sebelum ini aku tidak pernah sebegini. Aku sendiri bingung dengan diriku tika ini. Barangkali ini yang seringkali dibicarakan teman-temanku yang sudah berteman wanita.
Namun...
Teman wanita?
Ah, mana mungkin aku akan berteman wanita. Lebih-lebih lagi dengan dia. Imaginasiku sekalipun tidak akan pernah mampu menggambarkannya. Tidak logik langsung!
Aku hanya insan biasa. Sedangkan dia cukup hebat dengan peribadi yang begitu indah. Daripada beberapa teman, aku diberitahu bahawa dia sebenarnya berpurdah setiap kali di luar universiti ini.
Terselit pula rasa bangga kerana aku antara mereka yang terpilih untuk melihat wajahnya. Lelaki-lelaki lain, mustahil.
Hebatnya lelaki yang mampu mendekatinya. Lebih-lebih lagi lelaki yang mampu melembutkan hatinya. Hebat sungguh.

********************************************

Dengan lafaz bismillah, kusambungkan rangkaian internet pada laptop. Besar harapanku agar tidak terpesong niatku melayari internet.
Aku sebenarnya cukup berat melakukan perkara ini. Selama ini aku tergolong dalam kalangan mereka yang ketagih bermain permainan internet. Terlalu teruk ketagihku hingga pernah membuatkanku nyaris dibuang universiti. Besar kesan peristiwa tersebut hingga menjadikanku sedikit teragak-agak untuk membuka laptop. Namun disebabkan misi yang lebih besar, kugagahkan jua semangatku.
Di ruang carian, kutaip pantas beberapa perkataan. Keluar beberapa alamat laman web. Salah satu yang kukira terbaik jadi pilihan. Terpampang gambar-gambar pakaian berserta info. Laju anak mata membaca dan cuba memahami.
Sedikit-sebanyak, faham juga aku tentang isinya. Merasakan belum puas, kubuka pula laman web lain. Aku perlu tahu lebih, perlu miliki lebih ilmu jika mahukan wanita sehebat itu. Itu tekadku.

************************************************

Beberapa teman mula menjauh diri. Itulah antara situasi berat yang harus kuterima. Bila aku menolak secara baik ajakan mereka yang mahu menonton perlumbaan haram, aku dituduh berubah. Mahu menyelamatkan keadaan, aku hanya diam. Mereka masih belum faham dan aku perlukan waktu untuk menjelaskan pada mereka.
Bila aku mengajak mereka turun untuk solat berjemaah, mereka mengesyaki aku menghidap penyakit yang mengancam nyawa. Riuh hingga ke kampung berkenaan perkara itu hingga membimbangkan orang tuaku. Terselit rasa terkilan di lubuk hati. Segera kubuang. Siapa aku mahu menghakimi diriku dan mereka.
Dan bila aku meminta bantuan mereka mengajarkan mana yang tidak kufahami, hampir kesemuanya menolak. Semuanya tidak lagi mengaku teman. Semua menjauh. Hanya mampu kupandang saat mereka menapak pergi. Aku hilang arah. Cuba kupujuk hati walau pedih.
ALLAH lebih penting berbanding hamba-Nya.
Akhirnya kuambil keputusan untuk bertemu pensyarah. Inilah langkah terakhir kukira.

***********************************************

Hampir kucapai tombol namun tiba-tiba daun pintu terkuak dari dalam. Berderau darah sebaik bertemu anak mata dengannya. Dia segera menjatuhkan pandangan...


Bersambung...

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Blogger news

Blogroll

src="http://www.greetvalley.com/graphics/glitter_text1.swf?mes=Sungguh%2C%20telah%20ada%20pada%20%28diri%29%0DRasulullah%20itu%20suri%20teladan%20yang%0Dbaik%20bagimu%20%28iaitu%29%20bagi%20orang%0Dyang%20mengharap%20%28rahmat%29%20ALLAH%0Ddan%20%28kedatangan%29%20hari%20kiamat%0Ddan%20yang%20banyak%20mengingati%20ALLAH%2E%0D%28Surah%20Al%2DAhzab%2C%2033%3A%2021%29&gr=7&fs=25"