Selasa, 21 Februari 2012

MUNDUR LANTARAN BERSEDERHANA?


Saya kira, pemahaman yang paling mudah untuk ayat di bawah ini adalah berkaitan dengan perintah ALLAH agar bersederhana.

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kikir) dan jangan (pula) engkau terlalu menghulurkannya (sangat pemurah) nanti kamu menjadi tercela dan menyesal.”
(Surah Al-Israk, 17: 29)

Seringkali diperkatakan bahawa sebaik-baik perkara di dalam Islam itu adalah perkara yang paling bersederhana.
Awalnya hati sedikit keliru dengan pendirian ini, termasuk mempersoalkan tentang praktikalnya untuk bersederhana dalam setiap perkara. Jika diseru agar bersederhana dalam bermewah, menikmati dunia, barangkali dengarnya seperti logik. Lazimnya, kesederhanaan ini paling sesuai dipraktikkan dalam konteks keduniaan.
Suatu hari saya menghadiri sebuah majlis ilmu. Di hujung rancangan, ustaz tersebut berdoa. Anehnya, beliau memohon untuk menjadi seorang yang bersederhana dalam ibadah dan aqidah. Lantas timbul satu persoalan.  Apakah dalam mengabdikan diri juga, kita perlu bersederhana?

KESEDERHANAAN TANDA KEHEBATAN

Memetik kata penakluk Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al- Fateh,


“Usah pandang siapa yang menyampaikan. Tapi pandang apa yang disampaikan. Barangkali nasihat yang terbaik itu berasal dari seseorang yang paling lemah antara kamu.”


Maka apabila seorang sahabat menyuarakan pendapat perihal kesederhanaan, saya kira nilai kesahihannya sesuai dijadikan wadah untuk berfikir lebih mendalam.
Kesederhanaan dalam bingkai pandangan Islam bukanlah bererti kita melulu untuk berada di pertengahan. Tiada yang tidak bersebab dalam agama ini, termasuk dalam soal kesederhanaan. Malah dengan bersederhana, kita akan mampu mencapai tahap jati diri paling mantap.
Dalam hidup seharian, kesederhanaan merupakan suatu asas yang melayakkan sempurnanya segala sesuatu. Jika makanan, mahukan yang sesedap rasa. Tidak terlalu masin, tidak juga tawar.
Jika berwudhuk, airnya tidak boleh terlalu sedikit. Tidak mencukupi. Tetapi tidak pula terlalu banyak. Dikira membazir. ALLAH sendiri telah menciptakan segala sesuatu dengan berpasang-pasangan. Untuk sesuatu perkara yang bersifat pros and cons, maka kesederhanaan adalah yang terbaik. Complementary.
Sebagai contoh, sekiranya melibatkan diri dalam sesuatu bidang, tidak wajar jika cita-cita kita hanya ingin berada di tahap biasa-biasa. Pasti ingin berjaya atau mudahnya disebut paling baik.
Jadi di sini, ada yang berselisih faham tentang kesederhanaan. Dalam hal ini, memilih untuk bersederhana dilihat seakan memakan diri. Inilah yang biasa dikaitkan dengan umat Islam masa kini. Lantaran mahu bersederhana, maka hajat untuk berada di tempat paling atas terpaksa dilupakan.
Tidak mahu terlalu kaya, nanti jadi berlebih-lebihan. Dalam peperiksaan, markah yang dikira sederhana adalah dalam lingkungan 50 hingga 69 markah. Gred A dianggap suatu kehebatan. Dalam kerjaya, kesederhanaan bererti tidak perlu usaha keras mencari rezeki. Cukup saja dengan apa yang ada. Gelaran boss atau ketua adalah berlebihan. Lebih teruk, diciptakan suatu istilah istimewa buat golongan yang gigih berkerja- workaholic.
Ini suatu kesilapan sebenarnya.

KEHEBATAN BUKAN HAL LUAR BIASA

Ayuh fikirkan semula. Jika kejayaan yang hebat merupakan suatu kelebihan, kekayaan yang melimpah ruah dikira pembaziran dan menguasai dunia dianggap sia-sia, maka mengapa ALLAH pernah mengizinkan umat Islam berada di kemuncak kegemilangan suatu masa dahulu? Mengapa Rasulullah mahukan agar umat Islam mengendalikan muka bumi?
Sebenarnya minda kita telah dipermainkan. Itulah sebabnya kita jadi takut untuk menggenggam dunia. Sedangkan kita boleh saja mencapai satu demi satu kejayaan jika kita mahu, dan jika diizinkan ALLAH.
Lantas, membetulkan mindset itu amat penting. Kita perlu praktikalkan maksud kesederhanaan yang diseru Rasulullah, mengikut erti kata yang sebenar. Bukan lagi mengikut acuan musuh yang bermuslihat.
Selama ini kita menganggap, cita-cita untuk jadi best student membuatkan kita lupa pada jalan dakwah. Bila sebut tentang kekayaan, kita terbayangkan diri yang lalai dan leka. Bicara saja tentang kuasai dunia, kita terbayangkan peluru-peluru dan senjata yang menyusahkan masyarakat. Terbayangkan tawa-tawa besar berirama kejahatan. Setiap perkara yang berupa perolehan dunia, kita anggap berlebih-lebihan.
Nah. Minda kita yang menetapkan begitu, maka begitulah hasilnya.

KESEDERHANAAN ITU KEBIASAAN

Kata orang, apa guna berseru-seru jika diri sendiri juga masih di takuk lama. Lalu, serba-sedikit saya cuba usahakan pengahayatan terhadap kesederhanaan ini. Alhamdulillah, hasilnya cukup memberi rangsangan.
Jika sebelum ini, saya anggap sederhana dalam belajar itu bila memperoleh gred B atau C. Maka saya ubah. Kesederhanaan itu adalah A.  Straight As itu adalah ‘biasa-biasa saja’, bukan kelebihan. Gred B dan ke bawah adalah kekurangan. Berlebihan pula jika masih  meneruskan ulangkaji ketika waktu solat telah masuk. Sekiranya tidak bertilawah mengikut target, maka itu dikira terkurang dalam ibadah. Mampu khatam Al-Quran setiap bulan itu adalah sederhana. Keikhlasan itu kesederhanaan, kehebatan itu sederhana, bergaji besar itu sederhana, malah jika mampu mencapai perkara terbaik juga masih dikira sederhana. Dan kita tahu  ALLAH paling sukakan kejayaan diacu kesederhanaan.
Bila hati tahu semua ini adalah sederhana, maka jiwa takkan pernah merasa lebih. Juga takkan merasa hebat, apalagi merasa di atas. Dengan mindset sebegini, secara mudahnya akal dan hati akan terus bercita-cita untuk sentiasa mencapai sesuatu yang lebih baik.
Pembaikan itu takkan berhenti, selagi kita tidak menganggap sesebuah kejayaan itu sebagai suatu kelebihan.
Melalui jiwa yang bersederhana, kekuatan dalaman akan terbina dengan mampan. Kesederhanaan itu menjadikan kita menganggap segala perkara kebaikan sebagai suatu perkara yang biasa, bukan luar biasa. Kesederhanaan menjadikan kita meletakkan sesuatu itu mengikut haknya. Jelas terpancar sifat adil melalui kesederhanaan ini. Saya yakin semua maklum, bahawa adil itu bererti meletakkan sesuatu mengikut tempatnya.
Terbuktinya sifat adil melalui kesederhanaan ini, bila kita mampu menyeimbangkan hak diri sendiri, hak ALLAH dan juga hak dunia seperti alam sekitar dan manusia lainnya. Hak ALLAH kita tunaikan dengan mentaati-Nya. Maka segala perkara adalah berpokok-pangkalkan hati yang mengharapkan redha-Nya.
Hak diri adalah dengan menjaga segala amanah yang dikurniakan-Nya, supaya akhirnya nanti kita memiliki hasanah. Kesihatan dijaga, bukan diabaikan lantaran mahu berjaga sepanjang malam hingga tertinggal subuh keesokannya. Ini fitrah diri yang perlu kita tunaikan haknya.
Hak alam pula, kita tunaikan melalui penyeimbangan demi penyeimbangan yang telah kita lakukan terhadap ALLAH dan juga diri kita sendiri.
Usah rosakkan hubungan dengan keluarga hanya disebabkan mahu duduk lama berfikir cara mengubah dunia. Usah juga titiskan air mata ibu hanya disebabkan mahu digelar da’ie yang hebat. Saya yakin kita semua faham, redha ibu ayah itu redha ALLAH juga. Lantas jika mereka sukar terima hasrat kita untuk berdakwah, maka bertindak bijaklah.

USAHA: JIKA TERKURANG, KURANGLAH HASILNYA. JIKA TERLEBIH, KURANG JUGA HASILNYA.

Ikutlah contoh Rasulullah yang adaptif. Sesuaikan cara, hingga hasilnya ketara. Setelah berusaha dan berusaha, maka serahkan penuh hasilnya pada ALLAH. Jika kita berlebihan dalam berdakwah hingga terabai ibadah sendiri, terabai keluarga sendiri, terlupa tanggungjawab mendidik zuriat, maka hasilnya pasti mampu kita agak. Jika kurang pula, saya yakin juga bahawa kita mampu mengagak kesudahannya. Lantas, mantapkan niat, azam dan tekad, hingga terserlah kekuatan dalaman melalui tingkah dan laku.

Ini...

Dan ini.

SALAH SATU ATAU DUA-DUA?
KITA YANG MEMILIH.

Wallahu’alam.

NUKILAN KHAS- FATEHAH MUHAMMAD
 

Blogger news

Blogroll

src="http://www.greetvalley.com/graphics/glitter_text1.swf?mes=Sungguh%2C%20telah%20ada%20pada%20%28diri%29%0DRasulullah%20itu%20suri%20teladan%20yang%0Dbaik%20bagimu%20%28iaitu%29%20bagi%20orang%0Dyang%20mengharap%20%28rahmat%29%20ALLAH%0Ddan%20%28kedatangan%29%20hari%20kiamat%0Ddan%20yang%20banyak%20mengingati%20ALLAH%2E%0D%28Surah%20Al%2DAhzab%2C%2033%3A%2021%29&gr=7&fs=25"