Saya kira, pemahaman yang paling mudah untuk
ayat di bawah ini adalah berkaitan dengan perintah ALLAH agar bersederhana.
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kikir)
dan jangan (pula) engkau terlalu menghulurkannya (sangat pemurah) nanti kamu
menjadi tercela dan menyesal.”
(Surah Al-Israk, 17: 29)
Seringkali diperkatakan bahawa sebaik-baik
perkara di dalam Islam itu adalah perkara yang paling bersederhana.
Awalnya hati sedikit keliru dengan
pendirian ini, termasuk mempersoalkan tentang praktikalnya untuk bersederhana
dalam setiap perkara. Jika diseru agar bersederhana dalam bermewah, menikmati
dunia, barangkali dengarnya seperti logik. Lazimnya, kesederhanaan ini paling
sesuai dipraktikkan dalam konteks keduniaan.
Suatu hari saya menghadiri sebuah
majlis ilmu. Di hujung rancangan, ustaz tersebut berdoa. Anehnya, beliau memohon
untuk menjadi seorang yang bersederhana dalam ibadah dan aqidah. Lantas timbul
satu persoalan. Apakah dalam mengabdikan
diri juga, kita perlu bersederhana?
KESEDERHANAAN TANDA KEHEBATAN
“Usah pandang siapa yang menyampaikan. Tapi pandang apa yang disampaikan. Barangkali nasihat yang terbaik itu berasal dari seseorang yang paling lemah antara kamu.”
Maka apabila seorang sahabat menyuarakan pendapat perihal kesederhanaan, saya kira nilai kesahihannya sesuai dijadikan wadah untuk berfikir lebih mendalam.
Kesederhanaan dalam bingkai pandangan
Islam bukanlah bererti kita melulu untuk berada di pertengahan. Tiada yang
tidak bersebab dalam agama ini, termasuk dalam soal kesederhanaan. Malah dengan
bersederhana, kita akan mampu mencapai tahap jati diri paling mantap.
Dalam hidup seharian, kesederhanaan
merupakan suatu asas yang melayakkan sempurnanya segala sesuatu. Jika makanan,
mahukan yang sesedap rasa. Tidak terlalu masin, tidak juga tawar.
Jika berwudhuk, airnya tidak boleh
terlalu sedikit. Tidak mencukupi. Tetapi tidak pula terlalu banyak. Dikira
membazir. ALLAH sendiri telah menciptakan segala sesuatu dengan
berpasang-pasangan. Untuk sesuatu perkara yang bersifat pros and cons, maka kesederhanaan adalah yang terbaik. Complementary.
Sebagai contoh, sekiranya melibatkan
diri dalam sesuatu bidang, tidak wajar jika cita-cita kita hanya ingin berada
di tahap biasa-biasa. Pasti ingin berjaya atau mudahnya disebut paling baik.
Jadi di sini, ada yang berselisih
faham tentang kesederhanaan. Dalam hal ini, memilih untuk bersederhana dilihat
seakan memakan diri. Inilah yang biasa dikaitkan dengan umat Islam masa kini.
Lantaran mahu bersederhana, maka hajat untuk berada di tempat paling atas
terpaksa dilupakan.
Tidak mahu terlalu kaya, nanti jadi
berlebih-lebihan. Dalam peperiksaan, markah yang dikira sederhana adalah dalam
lingkungan 50 hingga 69 markah. Gred A dianggap suatu kehebatan. Dalam kerjaya,
kesederhanaan bererti tidak perlu usaha keras mencari rezeki. Cukup saja dengan
apa yang ada. Gelaran boss atau ketua
adalah berlebihan. Lebih teruk, diciptakan suatu istilah istimewa buat golongan
yang gigih berkerja- workaholic.
Ini suatu kesilapan sebenarnya.
KEHEBATAN BUKAN HAL LUAR BIASA
Ayuh fikirkan semula. Jika kejayaan
yang hebat merupakan suatu kelebihan, kekayaan yang melimpah ruah dikira
pembaziran dan menguasai dunia dianggap sia-sia, maka mengapa ALLAH pernah
mengizinkan umat Islam berada di kemuncak kegemilangan suatu masa dahulu?
Mengapa Rasulullah mahukan agar umat Islam mengendalikan muka bumi?
Sebenarnya minda kita telah
dipermainkan. Itulah sebabnya kita jadi takut untuk menggenggam dunia.
Sedangkan kita boleh saja mencapai satu demi satu kejayaan jika kita mahu, dan
jika diizinkan ALLAH.
Lantas, membetulkan mindset itu amat penting. Kita perlu praktikalkan
maksud kesederhanaan yang diseru Rasulullah, mengikut erti kata yang sebenar.
Bukan lagi mengikut acuan musuh yang bermuslihat.
Selama ini kita menganggap, cita-cita
untuk jadi best student membuatkan
kita lupa pada jalan dakwah. Bila sebut tentang kekayaan, kita terbayangkan
diri yang lalai dan leka. Bicara saja tentang kuasai dunia, kita terbayangkan
peluru-peluru dan senjata yang menyusahkan masyarakat. Terbayangkan tawa-tawa
besar berirama kejahatan. Setiap perkara yang berupa perolehan dunia, kita
anggap berlebih-lebihan.
Nah. Minda kita yang menetapkan
begitu, maka begitulah hasilnya.
KESEDERHANAAN ITU KEBIASAAN
Kata orang, apa guna berseru-seru jika
diri sendiri juga masih di takuk lama. Lalu, serba-sedikit saya cuba usahakan
pengahayatan terhadap kesederhanaan ini. Alhamdulillah, hasilnya cukup memberi
rangsangan.
Jika sebelum ini, saya anggap
sederhana dalam belajar itu bila memperoleh gred B atau C. Maka saya ubah. Kesederhanaan
itu adalah A. Straight As itu adalah ‘biasa-biasa saja’, bukan kelebihan. Gred B
dan ke bawah adalah kekurangan. Berlebihan pula jika masih meneruskan ulangkaji ketika waktu solat telah
masuk. Sekiranya tidak bertilawah mengikut target, maka itu dikira terkurang
dalam ibadah. Mampu khatam Al-Quran setiap bulan itu adalah sederhana. Keikhlasan
itu kesederhanaan, kehebatan itu sederhana, bergaji besar itu sederhana, malah
jika mampu mencapai perkara terbaik juga masih dikira sederhana. Dan kita tahu ALLAH paling sukakan kejayaan diacu
kesederhanaan.
Bila hati tahu semua ini adalah
sederhana, maka jiwa takkan pernah merasa lebih. Juga takkan merasa hebat,
apalagi merasa di atas. Dengan mindset
sebegini, secara mudahnya akal dan hati akan terus bercita-cita untuk sentiasa mencapai
sesuatu yang lebih baik.
Pembaikan itu takkan berhenti, selagi
kita tidak menganggap sesebuah kejayaan itu sebagai suatu kelebihan.
Melalui jiwa yang bersederhana, kekuatan
dalaman akan terbina dengan mampan. Kesederhanaan itu menjadikan kita
menganggap segala perkara kebaikan sebagai suatu perkara yang biasa, bukan luar
biasa. Kesederhanaan menjadikan kita meletakkan sesuatu itu mengikut haknya.
Jelas terpancar sifat adil melalui kesederhanaan ini. Saya yakin semua maklum,
bahawa adil itu bererti meletakkan sesuatu mengikut tempatnya.
Terbuktinya sifat adil melalui
kesederhanaan ini, bila kita mampu menyeimbangkan hak diri sendiri, hak ALLAH
dan juga hak dunia seperti alam sekitar dan manusia lainnya. Hak ALLAH kita tunaikan
dengan mentaati-Nya. Maka segala perkara adalah berpokok-pangkalkan hati yang
mengharapkan redha-Nya.
Hak diri adalah dengan menjaga segala
amanah yang dikurniakan-Nya, supaya akhirnya nanti kita memiliki hasanah.
Kesihatan dijaga, bukan diabaikan lantaran mahu berjaga sepanjang malam hingga
tertinggal subuh keesokannya. Ini fitrah diri yang perlu kita tunaikan haknya.
Hak alam pula, kita tunaikan melalui
penyeimbangan demi penyeimbangan yang telah kita lakukan terhadap ALLAH dan
juga diri kita sendiri.
Usah rosakkan hubungan dengan keluarga
hanya disebabkan mahu duduk lama berfikir cara mengubah dunia. Usah juga titiskan
air mata ibu hanya disebabkan mahu digelar da’ie yang hebat. Saya yakin kita
semua faham, redha ibu ayah itu redha ALLAH juga. Lantas jika mereka sukar
terima hasrat kita untuk berdakwah, maka bertindak bijaklah.
USAHA: JIKA TERKURANG, KURANGLAH HASILNYA. JIKA TERLEBIH, KURANG
JUGA HASILNYA.
Ikutlah contoh Rasulullah yang
adaptif. Sesuaikan cara, hingga hasilnya ketara. Setelah berusaha dan berusaha,
maka serahkan penuh hasilnya pada ALLAH. Jika kita berlebihan dalam berdakwah
hingga terabai ibadah sendiri, terabai keluarga sendiri, terlupa tanggungjawab
mendidik zuriat, maka hasilnya pasti mampu kita agak. Jika kurang pula, saya
yakin juga bahawa kita mampu mengagak kesudahannya. Lantas, mantapkan niat,
azam dan tekad, hingga terserlah kekuatan dalaman melalui tingkah dan laku.