Dengan nama ALLAH yang
Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Moga penulisan dan tiap bait kata yang
tertaip adalah dalam naungan rahmat ALLAH jua.
Kerana setiap satu yang
dimiliki saat ini akan dipersoalkan semula. Pernah suatu ketika, Saidina Ali
meneguk segelas air suam. Sesudah itu beliau berkata, “nikmat ni akan disoal.”
Bayangkan. Oleh itu,
seperlunya tiap hela nafas, denyut nadi, malah tiap kerdipan mata yang
dipinjamkan ini moga ada manfaatnya untuk kita. Mudah-mudahan, ada jawapan yang
dapat kita berikan saat dipersoalkan semula oleh Si Dia nanti.
Lantas, seharusnya kita
sentiasa berfikir menghitung diri. Apakah yang sedang dilakukan saat ini mampu
memanfaatkan kita di akhir kelak, atau sekadar memalukan diri di hadapan-Nya.
Tika itu, tertunduklah wajah kehinaan. Tiada lagi gunanya.
Jadi sebelum berlakunya
saat itu, perlulah kita untuk berniat dan bercita-cita. Supaya tidak
digolongkan ke dalam golongan manusia yang sering disebutkan di dalam Al-Quran,
‘terdiam berputus asa’. Kemudian, cita-cita dan niat itu pula perlulah
dibuktikan melalui ikhlasnya hati dalam tindakan.
Benar, amat sukar
mendidik hati. Lebih-lebih lagi untuk meletakkannya di tahap paling ikhlas.
Cukup payah. Tetapi jika kita ikhlas mengerah hati untuk menjadi ikhlas, maka
hasilnya tidak akan mengecewakan. Insya-ALLAH. Kerana yang memegang hati kita
adalah ALLAH. Dan yang tahu hati kita juga hanya Dia. Bererti setiap usaha itu
pasti di dalam pandangan-Nya. Tidak perlu kita gusar.
Kemudian, sedikit demi
sedikit, hamba yang bersungguh mendidik hati akan mula merasakan betapa ada
ketenangan yang mula mengalir ke dalamnya. Halus, nipis dan kecil, hingga sukar
untuk dikenal pasti dari mana datangnya ketenangan itu. Apa yang kita tahu,
hati sudah mula terasa cinta untuk mengabdikan diri pada-Nya. Bukan lagi
niatnya ibadah itu kerana takut murka-Nya. Sebaliknya kerana cinta dan rindu.
Sesaat tidak berniat mengharap redha-Nya, terasa rugi. Itulah ibadah para
solihin, insya-ALLAH.
Kemudian, jika telah
mendapatkan tenangnya hati itu, pastilah kita mahu terus memilikinya. Ketika
ini, penjagaan terhadap segumpal darah itu amat penting. Tersilap mencatur,
bimbang istighfar yang terlafaz di bibir tidak lagi memberi kesan terhadapnya
lantaran telah dibalut keras dan hitamnya noda.
Banyak sebenarnya cara
mendidik hati. Dan salah satunya adalah dengan menjaga hati hamba ALLAH yang
memandang kita.
‘Jaga mata hati sendiri
dengan menjaga mata hati orang lain,’ kata seorang sahabat saya.
Penting sebenarnya
perkara ini, kerana hati itu pasangannya hati juga. Jika kita menyampaikan
dengan hati, maka yang akan menerimanya juga adalah hati. Jika kita mendidik
dengan hati, maka yang akan terdidik adalah hati. Baik hati sendiri, mahupun
hati mereka. Jika kita menyampaikan untuk menyakitkan hati, maka yang akan
terluka juga adalah hati. Tidak lari ke mana, kerana itu aturan-Nya.
Jadi, terfikir
sebenarnya sesuatu. Mengapa adakalanya, kita telah berniat untuk menjaga maruah
diri. Tetapi tetap juga diganggu. Tetap juga ada yang masih terkotor hati
melihat kita. Masih juga ada yang tidak menghormati pendirian kita. Tidak cukup
sempurnakah pemakaian? Tidak cukup terjagakah penampilan? Aneh sebenarnya
perkara ini. Dan kita semestinya akan terus membawa hati dan akal untuk
berfikir mengenainya.
Jawapan sebenarnya
telah lama ALLAH berikan...
Setiap dari kita adalah
da’ie, bukan? Yakni, sesiapa saja yang mengaku ALLAH satu-satunya Tuhan, dan
Muhammad itu utusan-Nya, maka gelaran da’ie itu adalah miliknya. Dan da’ie
pastilah hebat pemikirannya. Maka, kehebatan ini sepatutnya menjadikan kita
lebih sedar.
Sebenarnya hidup
seharian ini adakala membuatkan kita terlepas pandang perkara kecil. Sedangkan
perkara kecil tersebut mampu memberi kesan besar. Dalam penjagaan perilaku
contohnya. Kita fikir keramahan yang kita pamerkan itu hanyalah perkara biasa.
Hakikatnya, keramahan itulah yang berpotensi mengotorkan hati-hati lain.
Terutama terhadap dia yang lawan jantina. Barangkali dia tidak memberitahu
bahawa hatinya telah tersentuh dek kemesraan kita. Dan kita terus menganggapnya
perkara biasa. Terus bergelak ketawa dengan niat, ada batasnya.
Tahu-tahu sahaja dia
meminta cinta. Pasti saja hati beristighfar panjang saat itu. Kemudian
tertanya, “apa lagi yang perlu aku jaga, ya ALLAH?”
Di pinggir jalan, sengaja
ketawa kemalu-maluan sewaktu berbual dengan teman sejantina dengan hasrat mahu
dia menyedari indahnya seorang muslimah. Suara yang sememangnya telah lembut
itu kedengaran sangat menusuk hati. Na’uzubillah. Itulah hati.
Jangan buatkan mereka
yang memandang kita jadi kotor hatinya. Jika kita mahu jauh dari fitnah, berfikir
dan bertindaklah ke arah niat tersebut. Jangan menyerah diri terhadap fitnah
itu. Bersama-sama kita betulkan niat. Tidak mungkin ALLAH tidak mengerti niat
hamba-Nya sendiri. Jika benar kita mengharapkan berlakunya sesuatu perkara,
biasanya kita akan mendapatkannya. Sebagai contoh, kita benar-benar mahu jauh
dari gangguan fitnah. Maka apa yang akan kita lakukan?
Tentu-tentu saja kita
akan berusaha hingga tejaga hati mereka yang melihat kita. Ingat, kita bukan
saja mendidik hati kita, malah hati mereka yang memandang kita juga. Didiklah
hati mereka, bukan dikotorkan.
Barangkali kita akan
menuduh, ‘mereka yang tidak menjaga pandangan!’
Tapi, ukht. Kita
wanita. Adik lelaki saya pernah melakukan sedikit kaji selidik. Katanya, lelaki
menganggap semua wanita adalah cantik. Yang membezakan hanyalah cantik banyak
atau sedikit. Itu saja. Lantas walau siapapun kita di hadapan cermin, yakinlah
bahawa kita sebenarnya telah diciptakan sangat indah. Bersyukurlah dan buktikan
kesyukuran itu.
Kita perlu jaga amanah
‘kecantikan’ ini. Jangan sampai Adam tersungkur. Perlu juga kita jaga keindahan
ini, jangan sampai Hawa lain iri hati. Harusnya, di dalam hati ada tekad yang
sangat utuh dan mendalam. Fahamilah betapa bertuahnya seorang lelaki, bila
beristerikan wanita yang mengkhususkan dirinya untuk tatapan si suami semata.
Merekalah satu-satunya
lelaki asing yang sudi menghargai kita dengan sebuah mahar, sudi menanggung
dosa kita, memikul betapa perit dan susahnya meluruskan tulang yang bengkok
ini, menerima seadanya kekurangan kita. Mereka saja, ukht. Tidak ada lelaki
asing lain, percayalah. Jika tidak, masakan dia jodoh kita. Masakan dia berani
berdepan ibu ayah kita. Beranikah lelaki yang tidak layak, bertemu orang tua
kita untuk mengambil anak perempuan yang dijaga dan dididik sekian lama? Pada
siapakah dianugerahkan keberanian itu jika bukan pada dia yang telah
ditakdirkan buat kita?
Jadi, layakkah kita
samakan dia dengan lelaki lain? Yang tidak pernah mahu menghargai kita, tidak
ada sebarang mahar untuk memiliki cantiknya kita. Sanggup kita beri percuma
pada mereka, sedangkan suami sendiri yang seharusnya kita cinta dan sanjung
juga perlu membayar untuknya?
Wajah yang sepatutnya
dia tatap untuk jadi penyejuk hati, suara yang sepatutnya dia dengar bila saja
resah, kemanjaan yang sepatutnya dia saja rasai setiap kali mahu menyayangi dan
disayangi, kelembutan yang sepatutnya membelai dia saat keras hatinya... adakah
layak dikongsi dengan mereka yang tiada sebarang tanggungjawab terhadap kita?
Kita mahu suami soleh
sebagai pembimbing, tapi kita sendiri gagal membimbing diri. Perlu kita ingat.
Suami juga seorang manusia seperti kita. Mereka pelengkap kita, kita pelengkap
mereka dan mereka takkan pernah lengkap tanpa kita. Masakan mereka sempurna
tanpa sebarang cacat-cela.
Jadi kelebihan kita
yang akan menutup kekurangan itu. Indahnya jika hidup saling membina. Bila kita
di bawah, suami hulur tangan. Bangkit. Tapi bila suami di bawah, dan tika itu
kita sendiri tiada kemampuan membimbing dan membantu, lantas bagaimana?
Layakkah balasan itu untuk seorang suami?
ALLAH Maha Adil.
Masakan mahu ALLAH padankan seorang Adam yang soleh, yang telah sedaya upaya
menjaga hati dan cintanya dengan Hawa yang sangat jauh rendahnya tahap taqwa.
Tiada yang mustahil bagi ALLAH untuk memautkan hati mereka terhadap Hawa ‘sebegitu’,
tapi ALLAH sangat malu untuk tidak memakbulkan doa hamba, lebih-lebih lagi yang
soleh. Lelaki soleh pula pasti mendoakan jodohnya dengan wanita solehah. Maka...
bagaimana penyudahnya. Kita mampu berfikir, insya-ALLAH.
Apapun, bukanlah
iktikad kita dalam menjaga hati, diri dan maruah kerana mahu memiliki lelaki
soleh. Tanpa lelaki soleh, sepatutnya kita tetap tegar menjejak cinta dan
keampunan ALLAH. Itu paling utama.
Wallahu’alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan