Khamis, 29 September 2011

HARAPAN KASIH (Bahagian Akhir)


Hampir kucapai tombol namun tiba-tiba daun pintu terkuak dari dalam. Berderau darah sebaik bertemu anak mata dengannya. Dia segera menjatuhkan pandangan dan melangkah keluar. Temannya mengekori. Sedikit kuundur diri ke belakang, memberinya ruang meskipun tahu laluan buatnya sudah tersedia luas.
Sering berjumpa pensyarah rupanya dia. Tidak hairanlah hebat.
Bimbang pemikiranku terhadapnya disedari, aku segera menapak ke dalam bilik. Senyuman pensyarah muda itu terlebih dahulu menyambut. Hampir seusia saja dia denganku, hanya berbeza tiga tahun di atasku. Kuharapkan dengan cara ini, dapat kujadikan dia teman baruku untuk berbincang dalam subjek ini.

********************************

Benar. Hilang teman tidak bererti hilang segalanya. ALLAH telah menggantikan padaku dengan teman yang jauh lebih baik. Hubunganku dengan pensyarah itu semakin erat. Bila-bila masa saja aku melawatnya, pasti dia sudi melayanku. Jika sewaktu menemuinya sudah menghampiri waktu solat, dia akan mengajakku bersama-sama ke surau. Solat dahulu, baru belajar. Lebih berkat, lebih tenang. Itu yang sering dijadikan alasan.
Aku senang bersahabat dengannya. Aku sedar, dia pesyarahku. Statusnya lebih tinggi. Namun sikapnya yang amat merendah hati itulah yang seringkali membuatkanku tersilap menganggapnya sebagai sahabat. Dia juga selesa aku memanggil namanya saja bila di luar waktu pejabat. Malah dia yang memintaku memanggilnya begitu. Kekok katanya. Aku hanya tertawa mendengar alasan itu.
Aku tahu, ALLAH sedang menunjukkan kebenaran padaku. Aku bahagia dan semakin berusaha mendekati-Nya. Dan kuharapkan, Dia akan lebih menunjukkan padaku segala kebenaran.

***********************************

“Khairul, malam ni kau free tak?”
Terhenti langkahku yang hampir saja menapak keluar dari bilik itu. Baru selesai berbincang mengenai topik yang kurang kufahami. Terdetik juga kebingungan bila tiba-tiba saja dia memanggilku kembali, sedangkan aku benar-benar telah memahami pengajarannya. Bagaikan terselit agenda lain dalam suaranya. Namun malas untukku banyak bersoal jawab, lantas segera aku berpusing, menghadapnya yang masih berada di meja.
“Agaklah.” Tenang. “Kenapa?”
Melebar senyuman. Dia melangkah menjauhi meja dan menghampiriku. Bahuku ditepuk tenang. “Keluarga dari kampung datang rumah. Jadi orang rumah aku masak lebih sikit malam ni. Ada buat makan-makan sikit.” Mesra. “Datanglah.”
Pecah tawaku yang jelas tidak mempercayai pelawaannya. “Eh, saya orang luar aje, Dr.”
Dia ikut tertawa, kecil. “Dah lepas office hour. Tak payah panggil macam tulah.” Ada ingatan mesra kedengaran yang membuatkanku teragak-agak. Serba-salah pula jika berkau dan beraku dengannya di dalam kawasan fakulti.
“Boleh datang tak?”
Tersedar seraya memandang kembali wajahnya. Aku sedikit tersepit sebenarnya. Antara rasa segan dan akur. Dia sememangnya terlalu baik, tetapi masakan mahu aku ikut serta dalam majlis keluarganya. Apa pula kata orang tuanya nanti.
Hati mengarah supaya terima namun akal melarang keras.
Wajahnya kupandang sedikit teragak. “Terima kasih, Dr.” Perlahan. “Insya-ALLAH, saya pergi.”

***********************************

Sewaktu tiba, seorang lelaki yang menyambutku. Dari gayanya, dapat kuagak usianya yang lebih kurang separuh abad. Mesra menggelar dirinya pak cik.
“Azrul ada kat dapur, tengah tolong anak pak cik memasak.” Ceria. “Masuklah.”

***********************************

Gelak tawa kedengaran, jelas bermain-main di ruang dengar. Terbit keseganan untuk terus melangkah ke arah dapur namun mengenangkan mertuanya yang berjalan seiringan denganku, kupujuk juga diriku agar berlagak selamba.
“Abang, nak sudip tu kejap.” Lembut. Di ruang mata, mula dapat kulihat seorang wanita yang menghadap dapur memasak, tidak jauh dari Azrul yang sedang mencedok kuah ke dalam mangkuk. Barangkali itulah isterinya, teman hidup yang selama ini jadi kerinduannya.
Masih kuingati, bagaimana dia benar-benar tegas dengan masa. Habis saja waktu pejabat, mahu terus pulang ke rumah tanpa singgah ke mana-mana. Bila kutanya, mudah saja jawapannya.
‘Kekasih hati sedang menunggu.’
Walaupun bernada gurauan, namun dapat kurasakan betapa dalam perasaan kasih dan rindu yang sedang dialaminya. Sedikit-sebanyak, perasaannya itu ditempiaskan padaku hingga rasa rindu itu seolah mampu kurasai. Syahdu. Indah sungguh hidupnya.
Kulihat Azrul berkalih pada isterinya, namun seakan menyedari kehadiran kami seraya berpusing. Berubah terus wajahnya. Mesra.
“Subhanallah. Dah sampai rupanya.” Sebaik sudip di tanganya bersambut, aku dihampiri dan bersalaman. Senyumannya kubalas. Di ekor mata, isterinya kelihatan segera menyarungkan sesuatu ke wajah, masih membelakangi kami.
“Macam mana, susah tak nak cari rumah ni?” soalnya lagi. Hanya senyuman mampu kuzahirkan.
“Alhamdulillah, dapat juga jumpa rumahnya.”
“Tak sesat?”
Aku menggeleng dan dia tertawa kecil. “Izin ALLAH sebenarnya tu, sebab niat kau baik.” Mesra sebelum kemudiannya berpusing.
“Farhah.” Lembut dia memanggil, namun menyentak jantungku. Spontan wajahnya kupandang penuh debar. Bagaimanapun dia seakan tidak menyedari, malah memandang terus isterinya yang sudahpun menghadap kami, memandang Azrul.
Kualih pandangan ke wajah wanita itu pula. Semakin kuat debar di hati.
Ya, aku kenal benar dirinya walaupun kini dia sedang berpurdah.
“Nilah kawan Abang yang Abang bagitahu siang tadi. Sekelas Farhah, kan?”
Soalannya menghapus khayalan. Kupandang kembali dirinya. Berkecamuk hati dan akalku.
“Ha’ah, sekelas.” Wanita itu menjawab. Perlahan. “Abang ajaklah dulu kawan Abang tu minum. Air dah siap ni. Nanti dah siap hidang makanan, Farhah panggil.”
Tidak berganjak walau seinci dan sesaat pun anak matanya dari wajah Azrul. Menjadikanku nanar.
“Abang Ngah. Alas meja ni sesuai tak?” sampuk satu suara tiba-tiba. Menarik perhatian kami.
“Bolehlah tu.”
Okey, thanks.” Sejurus, terus gadis itu berpusing dan menghilang di sebalik dinding. Usah lagi kucerita tentang hati. Hancur dan luruh sepenuhnya segala harapan dan impianku selama ini.
“Farhah dengan Amani sekelas dengan saya.” Perlahan terpacul. Azrul kupandang. “Farhah isteri Dr?”
Dia menoleh sebelum mengangguk. “Jom, kita minum-minum sekejap, sementara orang rumah aku siapkan makanan.”

***************************

Kiranya, selama ini aku mencintai isteri pensyarahku sendiri.
Ya ALLAH...
Apakah ini... aku tak pernah tahu selama ini. Betapa pedihnya hati menanggung segala rasa yang pedih ini.
Apa seharusnya kulakukan lagi.
Terasa mahu saja aku meminta diri dari terus menyertai majlis keluarganya. Aku tidak tahu bagaimana lagi untuk berhadapan wanita itu, lebih-lebih lagi Azrul.
Beratnya rasa ini.

********************************

Hari-hari yang berlalu terus berganjak bersama sisa-sisa luka. Cuba kuubati dengan pujukan terhadap hatiku sendiri.
Walau sepedih manapun perasaanku, walau segetir manapun dugaannya, walau apapun yang berlaku, hati ini tetap perlu teguh.
Ya, dialah satu-satunya wanita yang telah berjaya membuka hatiku. Dialah satu-satunya wanita yang telah membukakan jalan untukku menerima hidayah-Nya. Kuakui semua itu.
Bagaimanapun, masakan akan aku kembali kepada zaman jahiliyahku hanya kerana kecewa terhadap cinta dunia yang tidak berbalas. Mana mungkin cinta ALLAH jadi taruhan. Aku yang seharusnya lebih bersyukur. Sekurang-kurangnya, aku telah diperlihatkan dengan kebenaran. tidaklah tersasar jauh persaanku. Benar itu.
Biarlah. Hilang sesiapa pun jua, aku masih ada ALLAH.
Ya, aku masih ada Dia. Malah, cinta-Nya adalah satu-satunya yang tidak akan pernah kupersiakan.
Menitis jua air mata dalam sujudku. Pada-Nya jua aku kembali.

1 ulasan:

  1. MORAL CERITA:

    Walau apapun jua yang berlaku, bersangka baiklah terhadap ALLAH.
    Jika dalam usaha ke arah kebaikan kita diuji dengan sesuatu yang amat berat, yakinlah bahawa Dia sedang memerhati dan menanti. Jika berjaya kita harungi dugaan dengan penuh ikhlas dan pergantungan pada-NYa, maka saat itulah cinta yang sebenar-benar cinta akan kita raih.
    Sesudah itu, tidak mustahil Dia akan gantikan setiap perkara yang telah diambil itu dengan sesuatu yang lebih baik.

    Khairul contohnya. Jika dia berjaya mengubati kekecewaan tersebut dengan cinta ALLAH, insya-ALLAH akhirnya dia akan dijodohkan dengan wanita yang jauh lebih hebat dari Farhah.

    Siapa tahu.

    BalasPadam

 

Blogger news

Blogroll

src="http://www.greetvalley.com/graphics/glitter_text1.swf?mes=Sungguh%2C%20telah%20ada%20pada%20%28diri%29%0DRasulullah%20itu%20suri%20teladan%20yang%0Dbaik%20bagimu%20%28iaitu%29%20bagi%20orang%0Dyang%20mengharap%20%28rahmat%29%20ALLAH%0Ddan%20%28kedatangan%29%20hari%20kiamat%0Ddan%20yang%20banyak%20mengingati%20ALLAH%2E%0D%28Surah%20Al%2DAhzab%2C%2033%3A%2021%29&gr=7&fs=25"